Selasa, 20 Oktober 2009

Hikayat Palembang

Manuskrip

Teks yang dikaji ini berasal dari manuskrip dalam simpanan Perpustakaan Universiti Leiden dengan no Kod…*….salinannya dalam bentuk mikro filem milik perpustakaan Universiti Malaya. Tulisan tangan berukuran ……X………Manuskrip berada dalam keadaan baik dan tiada kerosakan. Seluruh bahagian juga dapat dibaca dengan terang. Terdiri daripada 79 halaman bertulis dengan keseluruhan teks sekitar 14000 patah perkataan.

Bahasa

Teks ini di tulis dalam bahasa Melayu standart, dialek yang menjadi bahasa persuratan kebanyakan teks-teks tertulis di alam Melayu di abad ke 19. Tetapi gaya bahasa Melayu lama jelas kelihatan dari segi ayat dan perkataan-perkataan yang di gunakan. Perkataan-perkataan seperti “sebermula”, “al-kisah”, “tatkala”, “shahdan” dan sebagainya banyak digunakan. Begitu juga dengan ayat-ayatnya panjang-panjang dan tidak terdapat tanda baca.

Dalam teks ini juga terdapat banyak perkataan dari bahasa Jawa, terutama istilah-istilah dalam pentadbiran, seperti, “penggawa”, “lurah”, “suhunan”, “kraton”, “priyai”. Sebagai contoh lihat ayat berikut “…Pangeran Jaya Wikrama itupun segeralah menyuruh penggawa menteri dan rakyat masuk ke dalam kota kraton Palembang”.

Selain itu, bahasa Jawa juga ketara pada nama-nama raja-raja, misalnya Pangeran Jaya Wikrama, Pangeran Adi Manggala, dan sebagainya. Pengunaan perkataan-perkataan Jawa dalam pentadbiran dan nama-nama raja ini memperlihatkan betapa kuatnya pengaruh sistem pentadbiran kerajaan-kerajaan di Jawa dalam kerajaan Palembang.

Selain itu terdapat juga perkataan-perkataan Inggeris yang sudah menjadi perkataan umum dan lazim digunakan dalam bahasa Melayu hari ini. seperti “kontrak” dan “intres”. Oleh yang demikian, manuskrip ini dapat memberikan maklumat bahawa perkataan tersebut sudah digunakan dengan meluas dalam bahasa Melayu sejak lama.

Pada keseluruhannya bahasa Melayu yang digunakan dalam manuskrip ini adalah baik. Ia menunjukkan bahawa penulis manuskrip ini adalah seorang penulis yang berpendidikan dan mempunyai pengetahuan yang luas tentang bahasa Melayu. Pengarang teks ini mungkin memang seorang yang sudah biasa dengan pekerjaan mengarang.

Pengarang

Manuskrip ini tidak menyebutkan siapa pengarang dan penyalinnya. Oleh yang demikian tidak dapat ditentukan secara pasti siapa menulis manuskrip ini, tetapi pada permulaan teks ada disebutkan bahawa pengarang menulis Hikayat Palembang berdasarkan tulisan-tulisan terdahulu dan cerita-cerita orang. Tulisan terdahulu itu, mungkin surat-surat, catatan harian dan sebagainya, sedangkan “cerita-cerita orang” adalah cerita-cerita lisan yang disampaikan dari mulut-ke mulut sejak lama tentang kerajaan Palembang.

Latar Belakang Teks

Sepanjang abad ke 19 adalah zaman pergolakan besar di sekitar Selat Melaka yang melibatkan kerajaan-kerajaan tempatan dan bangsa-bangsa Eropah. Kerajaan-kerajaan tempatan terdiri daripada Siak, Johor–Riau, Jambi, Aceh, Palembang, dan bangsa Eropah terdiri daripada Inggeris dan Belanda yang berpusat di Melaka, Pulau Pinang dan Betawi. Pergolakan ini semakin hebat lagi kerana turut melibatkan kerajaan-kerajaan di luar Selat Melaka, seperti Betawi, Pontianak, Meluku, Sambas, Banjarmasin, dan Demak. Kemudian muncul pula kumpulan pahlawan-pahlawan Bugis yang masuk ke semua istana Melayu. Mereka bukan sahaja membawa pasukan tentera yang kuat, tetapi juga berkahwin dengan keluarga istana sehingga kedudukan kaum Bugis menjadi kukuh. Mereka memberi sokongan kepada kumpulan-kumpulan dan terlibat secara langsung dengan pergolakan politik negeri –negeri Melayu. Dalam waktu yang sama dua kuasa Barat iaitu Inggeris dan Belanda juga turut campur tangan dengan pusat pentadbiran mereka di Melaka, Pulau Pinang dan Betawi.

Pergolakan di sekitar selat Melaka menjadi bertambah hangat lagi apabila berlakunya perang saudara dikalangan kerabat diraja di istana-istana Melayu. Ini membawa kepada campur tangan Inggeris dan Belanda di negeri-negeri Melayu dan akhirnya menguasai negeri-negeri Melayu.

Di Johor Lingga perebutan kuasa berlaku selepas kemangkatan Sultan Mahmud yang tidak meninggalkan waris yang berhak mengambil alih jawatan raja. Bendahara Abdul Jalil yang mengambil jawatan tersebut tidak kukuh kerana tidak mendapat dukungan sepenuhnya daripada rakyat, kerana rakyat kerana ia dianggap waris yang tidak sah untuk jawatan tersebut. Ini menjadikan negara sentiasa dalam keadaan bergolak. Kemudian muncul pula seorang pengembara dari Minangkabau yang menggelarkan dirinya Raja Kecil dan telah berjaya meyakinkan orang-orang laut yang selama ini menjadi pendukung kuat warisan Bukit Si Guntang, bahawa ia adalah anak kepada Sultan Mahmud yang mangkat di julang. Melalui sebuah mitos pengabsahan, Raja Kecil kemudian berjaya menggerakkan orang laut untuk melakukan rampasan kuasa dan mengusir Sultan Abdul Jalil, seterusnya mengambil alih jawatan raja. Seterusnya membawa kepada campur tangan Bugis lima bersaudara yang akhirnya menimbulkan pergolakan yang tak habis-habisnya antara Kerajaan Johor-Lingga dengan Kerajaan Siak.

Seterusnya di Siak berlaku pula perebutan tahta antara dua beradik anak Raja Kecil iaitu Sultan Mahkota Alam dengan Sultan Mahmud (Cek nama dua orang anak Raja Kecil yang berperang).* Peperangan tersebut telah memakan masa bertahun-tahun dan mengorbankan banyak nyawa, kemudian pihak kerabat diraja Siak yang kalah mengembara ke pelbagai tempat. Di Palembang pula berlaku perang saudara antara Sultan Anum dengan Pengeran Jaya Wikrama sehingga beberapa generasi lamanya.

Perang saudara, perang antara negara, perebutan pengaruh antara kuasa barat dan jatuh bangunnya kerajaan-kerajaan Melayu ini kemudian telah menarik perhatian ilmuan di zaman tersebut untuk menulisnya sebagai hikayat, syair dan sebagainya. Selain itu, pihak pemerintah juga ingin untuk menyimpan sejarah kerajaan mereka. Ini telah melahirkan pelbagai karya bercorak sastera sejarah yang mencerita kerajaan tertentu, yang menyebabkan setiapkerajaan besar mempunyai sastera sejarah mereka sendiri. Misalnya, untuk kerajaan Riau-Lingga di tulis Tuhfat Al Nafis, untuk kerajaan Deli-Serdang di tulis Hikayat Deli, untuk kerjaan Pahang di tulis Hikayat Pahang dan sebaginya.

Penulis-penulis sastera sejarah terdiri daripada ilmuan yang faham dengan perjalanan politik negaranya. Bahkan sebahagian dari penulis tersebut terlibat secara langsung dengan pergolakan politik di dalam negaranya. Misalnya Raja Ali Haji yang menulis Tuhfat Al Al Nafis ialah Yang Di Pertuan Muda kerajaan Johor-Riau.

Selain disebabkan oleh faktor politik seperti yang sudah sudah disentuh di atas, pergolakan besar di sekitar selat Melaka ketika itu juga disebabkan oleh faktor ekonomi. Misalnya dalam Hikayat Palembang ini diceritakan bagaimana keinginan untuk menguasai perdagangan timah dan hasil-hasil hutan telah menyebabkan Inggeris dan Belanda campur tangan di Palembang. Ketika Belanda membantu Pengeran Jaya Wikrama untuk menggulingkan Sultan Anum, Belanda telah meminta syaratnya, iaitu memberikan monopoli perdagangan timah dan hasil hutan kepada Belanda dan membenarkan Belanda mendirikan loji di Palembang.

Hikayat Palembang Dalam Beberapa Teks-teks Lain

Interteks secara langsung Hikayat Palembang antara lain dapat dilihat dalam Hikayat Siak. Dalam Hikayat Siak di ceritakan kisah Raja Kecil yang pergi ke Palembang ketika berumur 13 tahun dan bertemu dengan Sultan Lema Abang dan berkhidmat di bawah sultan tersebut. Kemudian daulat yang tinggi pada Raja Kecil menyebabkan Sultan Lema Abang kegatalan setiap kali Raja Kecil membawa tepak sirih di hadapan1.

Seterusnya dalam Hikayat Siak diceritakan tentang perkelahian antara Sultan Lema Abang dengan Sultan Anum yang dibantu oleh Sultan Agung yang merupakan Bapa Saudara Sultan Lema Abang. Akhirnya Sultan Anum menaiki tahta menggantikan Sultan Lema Abang atau Sultan Lembayang. Sultan Lema Abang pun mundur ke Johor dan meminang anak raja Johor. Pinangan tersebut di tolak kerana anak raja Johor tersebut masih kecil dan Sultan Lema Abang pun belayar ke Siantan. Dari situ baginda bercadang untuk merampas kembali tahta. Beliau telah membuat pakatan dengan Daeng Parani dan Daeng Celak untuk melanggar Palembang, tetapi di larang oleh Wira Sentik. Sultan Anum dan Sultan Lema Abang kemudiannya sama-sama menghantar surat kepada Belanda di Betawi untuk minta bantuan. Belanda membantu Sultan Lema Abang, manakala Sultan Anum kemudian di tangkap dan di buang ke Belida2.

Selain daripada itu, dalam Hikayat Siak juga terdapat beberapa peristiwa yang turut disebut dalam Hikayat Palembang. Misalnya kisah perebutan tahta antara Sultan Anum dengan Sultan Lema Abang yang dalam Hikayat Palembang di sebut Pangeran Jaya Wikrama3. Kedua-dua sultan ini dikatakan telah meminta bantuan Belanda di Betawi, tetapi Betawi memberi bantuan kepada Sultan Lema Abang, sehingga Sultan Lema Abang berjaya menaiki tahta dan terus memerintah.

Selain itu, teks ini juga ada menyebutkan bahawa Sultan Lemabang telah membuat pakatan dengan Daeng Celak dan Daeng Parani, tetapi tidak diteruskan. Teks ini juga menyebutkan bahawa, Sultan Lemabang telah pergi ke Johor dan meminang anak raja Johor tetapi di tolak. Dalam Hikayat Palembang juga disebutkan bahawa pengikut atau tentera Pangeran Jaya Wikrama terdiri daripada orang laut, Bugis, Brunei dan Johor sebagaimana yang turut disentuh dalam Hikayat Siak. Kedua-dua teks juga menyebutkan bahawa, setelah membantu Pangeran Jaya Wikrama naik tahta, Belanda membuka loji di Palembang.

Namun demikian, terdapat juga beberapa percangggahan pernyataan antara kedua teks ini. Misalnya dalam Hikayat Siak disebutkan bahawa Sultan Anum ditangkap dan dibuang ke Belida sedangkan dalam Hikayat Palembang mengatakan bahawa Sultan Anum lari ke Jambi.

Tumpuan Teks

Ada dua masalah yang menjadi tumpuan Hikayat Palembang, iaitu tentang perebutan kuasa dikalangan kerabat diraja Palembang dan perebutan kuasa antara Belanda dan Inggeris di Palembang. Perebutan kuasa antara kerabat diraja di Palembang yang menjadi fokus Hikayat Palembang ialah perang antara Sultan Anum dengan adiknya Pengeran Jaya Wikrama. Perang tersebut semata-mata kerana kerakusan Pengeran Jaya Wikrama untuk berkuasa. Mengikut kelayakan, yang berhak memegang jawatan raja memang Sultan Anum kerana beliau putera laki-laki yang paling tua, oleh yang demikian sudah tepat Sultan Anum memegang jawatan tersebut. Hanya kerana tamakkan kekuasaan Pangeran Jaya Wikrama melakukan rampasan kuasa dengan munggulingkan saudaranya sendiri. Sehingga Sultan Anum tersingkir dari tahta kerajaan.

Teks ini seterusnya berjaya menggambarkan betapa buruknya akibat daripada perang saudara. Adik beradik dan anak beranak sanggup saling bunuh membunuh. Misalnya, Sultan Anum telah berusaha bersungguh-sungguh untuk membunuh adiknya Pangeran Jaya Wikrama. Pangeran Jaya Wikrama pula kemudian telah membunuh anak saudaranya4.

Rakyat pula akan menjadi korban, harga barang mahal, bahkan tidak dapat diperolehi sama sekali, perdagangan dan pelbagai kegiatan ekonomi terhenti. Negara tidak aman dan rakyat sentiasa dalam ketakutan. Dalam Hikayat Palembang di sebutkan:

“Shahdan beberapa lamanya rusuh di dalam negeri Palembang itu. Malam-malam orang berbunuh-bunuhan sama senegeri, tiada boleh lena dan makanan pun terlalu mahal sebab dagang dari laut tiada datang dan orang dari hulu puntakut hilir. Dan lalu susah pada masa itu di dalam negeri Palembang dan hulu negeri dan dalam negeripun terlalu banyaklah orang samun menyamun….”

Perang saudara juga telah membuka peluang kepada kemasukan kuasa asing, yang menyebabkan mereka menguasai politik dan perekonomian negeri Melayu. Dalam Hikayat Palembang digambarkan bagaimana perang saudara antara Sultan Anum dan Pangeran Jaya Wikrama telah membawa kepada kemasukan Belanda ke Palembang. Akibatnya Belanda berjaya membuka loji di Palembang, memonopoli perdagangan timah dan lain-lain barang bernilai. Palembang juga menghantar upti setiap tahun kepada Belanda di Betawi sebagai tanda pengakuan tunduk dan bernaung di bawah Belanda. Ini terus berkekalan hingga Belanda jatuh Belanda ke tangan Inggeris.

Perang saudara antara Sultan Mahmud Badarudin dengan Sultan Najmudin pula telah mengundang kemasukan Inggeris ke Palembang. Akhirnya kedua kuasa barat ini saling menentukan perjalanan politik dan ekonomi Palembang.

Tumpuan teks yang lain ialah pada perebutan antara Inggeris dan Belanda. Inggeris berpusat di Pulau Pinang dan Melaka sedangkan Belanda berpusat di Betawi. Ketika perbutan kuasa antara Sultan Anum dengan Pangeran Jaya Wikrama, Belanda menunjukkan kekuatanya sehingga kedua keluarga raja yang berebut tahta tersebut telah minta bantuan Belanda di Betawi, seterusnya Belanda berjaya menguasai perdagangan di Palembang. Tetapi di zaman Sultan Najmudin, kekuasaan Belanda tamat bila Betawi jatuh ke tangan Inggeris, sekaligus kekuatan politik Belanda di Palembang juga tamat, sebaliknya Inggeris mulai bertapak di Palembang. Di zaman Sultan Muhmud Badarudim (Sultan Tua) Inggeris dan Belanda kembali berebut kekuatan dengan Sultan Ahmad Najmudin (Sultan Muda) mendapat sokongan Belanda dan Sultan Mahmud Badarudin (Sultan Tua) mendapat sokongan Inggeris.

Lebih menarik lagi, peperangan ini juga turut melibatkan tokoh-tokoh besar Inggeris dan Belanda di alam Melayu, seperti Reffles, Jendral De kok dan Jendral Kalaspai. Ini menunjukkan bahawa pergolakan di Palembang yang diceritakan di dalam Hikayat Palembang mempunyai pengaruh penting terhadap keseluruhan percaturan politik penjajah di alam Melayu.

Hikayat Palembang Dalam Tradisi Penulisan Sastera Sejarah.

Pada Hikayat Palembang terdapat beberapa penyimpangan dari tradisi penulisan sastera sejarah. Pertama sekali, hikayat Palembang tidak dimulakan dengan mitos asal usul raja, bahkan tidak pun disebutkan tentang asal-usul raja-raja Palembang. Selain itu, dalam teks ini juga tidak terdapat mitos pembukaan negeri yang dianggap sangat penting dalam sastera sejarah untuk memberikan legitimasi kepada raja yang memerintah dan keturunannya dapat memonopoli jawatan raja. Begitu juga dengan mitos-mitos lain seperti tentang kedatangan Islam, mitos alat kebesaran dan sebagainya.

Watak-watak raja dan peristiwa-peristiwa yang diceritakan dalam Hikayat Palembang semuanya biasa-biasa sahaja. Tidak ada keajaiban yang tidak diterima akal. Oleh yang demikian teks ini tidak berfungsi untuk memberi pengabsahan kepada raja atau untuk meletakkan negeri pada suatu kedudukan yang tinggi sepertimana sering terdapat dalam teks sastera sejarah yang lain. Hikayat Palembang juga tidak bermaksud untuk memitoskan negeri dan rajanya sehingga berada pada pusat dunia dan sebagainya, ini menunjukkan tidak adanya pengaruh konsep kenegaraan Hindu pada teks ini.

Tujuan penulisan teks ini semata-mata ingin merakamkan zaman kegungan dan pergolakan Palembang semasa di bawah Sultan Ahmad Badarudin dan cucunya. Bagi pengarang zaman tersebut ini perlu dirakamkan kerana banyak peristiwa dan pergolakan yang berlaku sama ada dikalangan kerabat diraja atau yang melibatkan kuasa luar (Lihat pembicaraan tentang “tumpuan teks”). Tujuan untuk mengabsahkan raja atau negeri langsung tidak terlintas difikiran penulis. Mungkin itulah sebabnya dalam Hikayat Palembang tidak terdapat cerita mitos dan legenda.

Suatu lagi keistimewaan teks ini ialah tarikh yang tepat pada setiap peristiwa yang diceritakan. Misalnya disebutkan Paduka Pangeran Ratu Bali wafat pada 8 hb Rejab 1140 h, Sultan Mahmud Badarudin wafat pada 1170 H dan sebagainya. Peristiwa-peristiwa yang dicatat juga dapat diterima sebagai kebenaran sejarah, tidak ada mitos-mitos dan legenda yang sering dianggap oleh para sejarawan sebagai kecacatan besar bila hendak menerima sastera sejarah sebagai buku sejarah. Oleh yang demikian penulisan teks ini sebenarnya telah menepati ciri penulisan sejarah moden yang mengutamakan ketetapatan catatan masa setiap peristiwa dan kebenaran peristiwa yang diceritakan. Perbezaan dengan buku sejarah moden, mungkin hanya kerana teks ini menggunakan gaya penceritaan sastera. Tetapi ini juga dapat dipandang sebagai suatu kelebihan kerana dengan gaya penceritaan sastera setiap peristiwa dan watak dapat diceritakan dengan lebih berkesan dan terperinci.

Walau bagaimanapun selain kerana gaya penulisannya yang menggunakan gaya bercerita sastera, teks juga mempunyai persamaan dengan tradisi penulisan sastera sejarah kerana menceritakan zaman keagungan, pergolakan di istana dan menamakan tokoh-tokoh politik yang benar-benar wujud.

Sinopsis Teks

Cerita ini bermula ketika zaman perdamaian antara Palembang dengan Belanda. Sultan Mahmud Badarudin (Pangeran Jaya Wikrama) dan sejumlah pembesarnya telah membuat pakatan dengan Belanda untuk menjatuhkan kerajaan abangnya Sultan Muhamad Alam Addin (Sultan Anum). Setelah diketahui oleh Sultan Anum pakatan adiknya Pangeran Jaya Wikrama, maka ia berusaha membunuh adiknya itu, tetapi tidak berjaya. Berlakulah perang saudara antara kedua belah pihak hingga negeri tidak aman. Setiap malam berlaku pembunuhan dan perompakan dimana-mana. Kegiatan perdagangan terganggu dan harga barang menjadi mahal.

Pangeran Jaya Wikrama menghantar utusan ke Betawi untuk meminta bantuan Belanda tanpa diketahui oleh Sultan Anum. Melalui suatu perjanjian Belanda telah bersetuju untuk membantu Pangeran Jaya Wikrama merampas tahta kerajaan. Dalam perjanjian tersebut dinyatakan bahawa Pangeran Jaya Pikrama akan membayar sebanyak empat puluh laksa ringgit, empat puluh budak laki-laki dan empat puluh budak perempuan. Selain itu juga ditetapkan, jika Pangeran Jaya Wikrama berjaya menjadi raja, segala hasil dalam negeri seperti cula, gading dan sahang hendaklah dijual kepada kompani Belanda. Jika ada orang menjual kepada pihak lain akan di rampas. Sebuah lombong timah akan di buka di Bangka dan semua hasil timah tersebut dijual kepada Kompeni dengan harga lapan ringgit satu kati. Kalau ada pembesar Palembang yang menjual kepada pihak lain akan di rampas oleh sultan. Kalau rakyat biasa yang menjualnya di rampas timah tersebut oleh kompeni dan dihukum bunuh oleh Sultan.

Tidak berapa lama kemudian kapal perang pun datang menyerang istana Sultan Anum. Sultan Anum melarikan diri ke Jambi dan berkahwin dengan anak Raja Jambi. Pangeran Jaya Wikrama pula naik tahta menggantikan Sultan Anum dengan gelar Sultan Badarudin.

Belanda dari Betawi datang membuat loji di Ulu Muara Sungai. Orang-orang Palembang yang menjual timah, cula badak dan barang-barang yang sudah ditentukan dalam perjanjian kepada kompeni lain daripada kompeni Belanda dibunuh.

Setelah sepuluh tahun Sultan Ahmad Badarudin I menjadi raja anaknya dibunuh oleh orang Bali yang diupah oleh Sultan Anum dari Jambi. Di ganti oleh adiknya yang bergelar Putera Ratu dan memakai gelar. Kemudian Sultan Ahmad Badarudin II membuat kota batu di Kota Lama tahun 1150 h.

Di zaman Sultan Ahmad Badarudin III ditetapkan pula utusan setiap tahun menghantar emas dan mengarak surat ke Betawi. Kemudian datang pula surat dari Betawi meminta Sultan memberi kebenaran kepada Belanda membuat kota batu sebab komponi banyak rugi. Maka loji tersebut mulai kuat. Betawi mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Palembang. Sejak itu hubungan Betawi dengan Palembang bertambah baik. Tidak berapa lama kemudian Putera Pangeran Ratu dilantik menjadi Sultan Ahmad Badarudin V.

Tidak berapa lama datang pula utusan dari Betawi menuntut hutang yang dijanjikan oleh Sultan Ahmad Badarudin IV. Sultan Ahmad Badarudin V mengetahui hutang itu tapi belum membayarnya. Tidak berapa lama kemudian Sultan Ahmad Badarudin V mangkat dan diganti oleh putera yang tua dengan gelar Sultan Ahmad Badarudin VI.

Sultan Ahmad Baharudin VI terkenal dengan sifat pemurah dan penyayangnya pada rakyat miskin menyebabkan Palembang makin makmur. Sultan Ahamd Badarudin VI telah membuat sebuah kota besar pada 1111. Pangeran Ratu pula menempati kota yang lama itu. Kemudian datang pula utusan dari Betawi dengan kapal perang menuntut hutang sebanyak 40 laksa ringgit. Sultan Ahmad Badarudin VI mengetahui hutang tersebut dan minta dikurangkan, akhirnya dipersetujuilah dan Sultan Ahmad Badarudin VI hanya membayar 20 laksa ringgit. Sejak itu hubungan dengan Belanda di Betawi semakin baik dan keadaan negeri sangat makmur. Maka pada 20 Zulhijjah 1218 wafat Sultan Ahmad Badarudin VI setelah memerintah 27 tahun. Maka puteranya Pangeran Ratu menggantikan Baginda dengan gelar Sultan Ahmad Badarudin VII.

Sultan Ahmad Badarudin VII mempunyai empat bersaudara tetapi hanya beliau sendiri laki-laki tiga lagi perempuan. Iaitu Pangeran Adi Manggala memakai gelar Pangeran Dipati. Paling kecil Pangeran Adi Kesuma, memakai gelar Pangeran Seri Kesuma. Seorang lagi Pangeran Nata Kesuma, memakai nama Pangeran Surya Kesuma.

Bila pemerintah Belanda di Betawi bertukar kepada Jendral Maskuluk keadaan berubah. Beliau seorang yang keras, tidak menerima utusan Palembang mengadap dan hendak melanggar Palembang. Maka Sultan Palembang pun membuat benteng di Burang. Kemudian Sultan Palembang apabila mendapat tahu bahawa Belanda berseteru dengan Inggeris yang berpusat di Pulau Pinang, maka Sultan Palembang menghantar utusan ke Pulau Pinang. Ternyata Inggeris akan menyerang Belanda di Betawi. Sultan Palembang setuju untuk berpihak kepada Inggeris, tetapi bagaimana pun Sultan Palembang mengambil sikap tunggu dan lihat apa yang terjadi seterusnya. Pada suatu hari datang khabar dari seorang Arab mengatakan Betawi telah jatuh ke tangan Inggeris

Maka siangnya Sultan Palembang pun menyerang kompeni Belanda di Palembang. Benteng Belanda di Palembang runtuh, seluruh tentera dan pegawai Belanda keluar dari Palembang. Kemudian datang utusan dari Inggeris ingin melihat kedudukan Belanda di Palembang. Tetapi pembesar Palembang memaklumkan kepada Inggeris bahawa tempatnya jauh dan di situ banyak penjahat. Akhirnya dengan layanan baik dari pembesar Palembang utusan Inggeris itu kembali ke Betawi.

Kemudian datang dua orang Arab bernama Pangeran Syarif Muhamad yang ditugaskan oleh Inggeris untuk meninjau ke Palembang, tetapi kemudian mereka mendapat khabar kononnya mereka hendak dibunuh oleh Sultan Palembang. Kemudian Sultan Palembang menghantar utusan ke Betawi dan mengadap Jendral Reflles. Ketika Reffles menanyakan keadaan Belanda di Palembang, utusan Palembang menjelaskan bahawa Belanda sudah lama diusir ke luar dari Palembang sebelum Betawi jatuh ke tangan Inggeris. Tidak lama kemudian utusan Palembang di Betawi tiba, Pangeran Sharif Muhamad mengadap Reffles mengatakan bahawa mereka hendak di bunuh oleh Sultan Palembang. Sharif Muhamad juga melaporkan bahawa semua orang Belanda Palembang sudah di usir oleh Sultan Palembang.

Setahun kemudian datang surat dari Inggeris menawarkan pulau Bangka yang setangah itu kepada Sultan Palembang, lalu Bangka dijual kepada Inggeris. Palembang tetap diawah kekuasaan Sultan Palembang.

Setelah tujuh tahun Sultan Ahmad Badarudin di Palembang Belanda pula di Palembang sebab gubnor Betawi sudah bertukar kepada Gubnor Jendral Belanda. Ketika itu Sultan Tua mengantar utusannya untuk berbicara dengan Holanda. Maka masuklah Edler Menteng ke Palembang hendak menurunkan Sultan Ahmad Najmudin dan menaikkan Sultan yang tua Muhamad Badarudin, tapi Sultan Ahmad Najmudin tidak mahu walaupun dipaksa. Sultan Ahmad Najmudin hanya sekadar keluar dari kawasan istana. Sultan Muda Ahmad Najmudin kemudian mengirim utusan kepada Inggeris di Bangkahulu mengatakan bahawa ia diturunkan dari tahta kerajaan Palembang tanpa sebab.

Inggeris pun datang dari Bangkahulu membawa seldadu tiga ratus orang yang di ketuai oleh Minta Saman, turut juga membawa tiga orang bangsawan Bangkahulu, iaitu Raden Arif dan Raden Karim. Sampai disuatu tempat bernama Muara Belati seldadu itu singgah sebentar sebab tidak ada perahu yang membawanya, hanya kepala pasukan itu Raden Karim sahaja bersama tiga orang seldadu Bugis yang naik mengadap Sultan Muda. Maka Inggeris pun mendirikan bendera di antara dua kota itu. Gemparlah rakyat mengatakan Sultan Muda dan Sultan Tua berperang. Maka berhimpunlah pembesar dan rakyat Sultan Muda.

Pagi esoknya Inggeris dan raja Bangkahulu pergi ke hilir Menteng menemui pasukan Raja Tua. Entah apa bayarannya tiba-tiba Inggeris dan Bangsawan Bengkulu itu terus pulang ke Bangkahulu. Maka gemparlah rakyat Sultan Muda di kota lama, sedangkan bendera Inggeris tetap berdiri antara kota lama dengan kota besar.

Di kota besar pihak sultan tua bersiap untuk membantu belanda hendak merobohkan bendera Inggeris di Lawang Burakan.

Belanda berjaya merobohkan bendera Inggeris, Sultan Muda di dalam buratan dan pemerintahan dipegang sepenuhnya oleh Sultan Tua. Tidak lama kemudian Sultan Muda dibawa ke Betawi bersama pembesarnya. Dari Betawi dibawa ke Cianjur sebahagian didudukkan di Semedang dengan layanan seperti seorang pembesar.

Sepeninggalan Sultan Muda Idler Menteng tidak mudik sebab pasukan Inggeris masih menunggu di Muara Belati untuk bertemu dengan pasukan Inggeris dan pulang semuanya ke Bengkulu. Idler Menteng kemudian terus ke Palembang dan tinggal berbaik dengan Sultan Tua. Tidak berapa lama kemudian Idler Menteng mendapat Sultan di Pemarakan, maka Idler Menteng pun menerima segala daerah-daerah dan di serahkan dibawah kuasa Idler Menteng.

Tidak berapa lama kemudian Idler Menteng minta beberapa perahu kepada sultan untuk memeriksa semua daerah yang di bawah perintahnya, kemudian Idler Menteng pun terus memeriksa negeri di hulu dan memberikan beberapa perintah.

Orang Huluan banyak yang nakal, setelah Idler Menteng jauh, melawan, mencuri dan melakukan pembunuhan. Holanda pun menangkap ketuanya dan ketuanya itu mati dipasung. Semakin ke hulu Belanda semakin keras kerana itu orang jahat bertambah banyak. Maka Idler Menteng pun disuruh ke Palembang. Sampai di Muara Rawas ada kumpulan orang Melayu yang lengkap dengan senjatanya hendak menanti Belanda di hilir itu.

Idler Menteng terus mudik ke muara Rawas. Berlakulah perang antara kubu Melayu itu dengan Idler Menteng. Kubu Melayu tewas dan orang Melayu semuanya lari. Idler Menteng terus mudik hingga sampai ke Palembang. Di Palembang Idler Menteng disambut oleh Sultan Muda Ahmad Badarudin, Pangeran Ratu tidak dibenarkan menyambut Idler Menteng.

Beberapa hari kemudian Idler Menteng, Syah Bandar dan Syarif Muhamad mengadap Sultan Ahmad Badarudin. Tidak jelas apa yang dibincangkanya, tetapi yang jelas Idler Menteng minta Pangeran Ratu dengan beberapa pengeran lainnya yang di bawah sultan di bawa ke Betawi, rusaklah hubungan Sultan Palembang dengan Idler Menteng. Idler Menteng terus mendesak supaya sultan membuang pangeran ratu dan beberapa pembesar lainnya ke Betawi. Maka gemparlah negeri Palembang. Sultan mempersiapkan pasukan perang untuk menghadapi Idler Menteng. Idler Menteng memberi amaran, jika Pangeran Ratu dan beberapa pembesar tidak diserahkan kepadanya ia akan menggempur kota sultan Palembang.

Maka masing-masing pun membuat persiapan untuk berperang. Sangat ribut bunyinya. Maka kedengaranlah kepada Belanda suara ribut itu. Datang satu orang opsir dengan seldadu pergi ke Pemarakan. Maka semua haji-haji pun gempar lalu menghunus pedang, opsir itu lari masuk kota lama, haji-haji itu terus mengejar masuk ke kota lama dipasang oleh seldadu Belanda itu meriam dan lela hangga haji yang berlari-lari itu mati. Berlakulah perang antara seldadu Belanda dengan sultan Palembang, tapi kemudian seldadu Belanda undur.

Pada hari itu juga datang utusan dari Idler Menteng memberi tempoh 4 hari, selepas tiga hari Belanda pun lari keluar. Sudah Belanda habis keluar, sultan memperkuat benteng pertahanannya.

Pada tahun itu juga masuk pula angkatan Jenderal Sekobar. Angkatan itu datang dengan Idler Menteng dan membawa dua orang anak Sultan Ahmad Najmudin yang di Cianjur yang bernama Pangeran Jaya Ninggarat menjadi sultan di Palembang. Setelah sampai di Sungai Kundur angkatan tersebut berhenti. Jenderal Sekobar dan anak Sultan Najmudin berjaya di usir

Kedudukan sultan semakin kuat, harga barang semkin murah dan pedagang juga ramai yang datang. Raja-raja seperti Riau, Lingga, Sambas menghantar utusan dan membekalkan senjata. Tidak lama kemudian Sultan Najmudin memakai gelar Sunan Mahmud Badarudin dan Pangeran Ratu diangkat nama Sultan Ahmad Najmudin.

Tersebut pula kisah sultan Ahmad Najmudin yang di Betawi. Setelah tiga tahun lamanya ia tinggal di negeri Cianjur, pada masa Belanda mundur dari perang Palembang Sultan Ahmad Najmudin dipanggil Gubnor Jendral Kafilah ke Bogor. Pada masa itulah ia diangkat oleh Gubnor Jendral dengan nama Suhunan Husin Zaidin dan anaknya yang tua yang bernama Prabu Anum bergelar Sultan Ahmad Najmudin.



1 Kewujudan peristiwa ini dalam Hikayat Siak dapat difahamai, kerana sudah menjadi kebiasaan

dalam penulisan sastera sejarah akan menciptakan peristiwa-peristiwa mitos untuk memberikan pengabsahan ke atas raja yang ditulis dalam hikayat tersebut. Mitos tersebut biasanya berkisar pada peristiwa yang menunjukkan kedaulatan raja yang menjadi fokus hikayat tersebut. Dalam sejarah Melayu terdapat banyak kisah yang menunjukkan kedaulatan raja-raja dari Bukit Si Guntang. Misalnya Sang Sapurba yang dapat membunuh ular Sakti Muna dengan pedang Corak Mambang Kini, tentang asal usul raja-raja Melaka dari Iskandar Zulkarnean dan sebagainya. Hikayat Siak pula menciptakan mitos untuk memberi pengabsahan terhadap tuntutan raja kecil dengan menyebbutnya sebagai keturunan Sultan Mahmud Mangkat di Julang dengan menciptakan kisah yang Sultan Lema Abang kegatalan kerana daulat Raja Kecil.

2 Raja Kecil (ketika itu masih bergelar Tuan Bujang) telah berkahwin dengan anak Dipati Batu Kucing.

3 Dalam Hikayat Palembang juga ada dijelaskan bahawa Pengeran Jaya Wikrama bergelar Sri Sultan Mahmud Badarudin yang di sebut juga Sultan Lemabang.

4 Pangeran Jaya Wikrama telah membunuh anak Sultan Anum yang ketika itu berlindung bersama ayahnya di Jambi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan