Selasa, 20 Oktober 2009

PANTUN SEBAGAI ALAT PENGUCAPAN AGAMA DI NUSANTARA

oleh: Dr. Bazrul Bahaman

1. Pengenalan


Sebelum kedatangan Islam ke Nusantara bangsa Melayu sudah mempunyai sekurang-kurangnya dua bentuk pengucapan iaitu teromba dan pantun yang mereka gunakan sebagai alat pengucapan yang berhubungan dengan undang-undang, peraturan moral dan pelbagai kebijaksanaan hidup dll.

Sikap orang Melayu yang suka berselindung dan menyampaikan sesuatu menggunakan pengucapan sastera, menyebabkan agama juga perlu disampaikan dengan pengucapan sastera. Bahasa biasa sahaja dilihat tidak mampu menyampaikan sesuatu yang penting kepada masyarakat. Oleh yang demikian sesuatu yang penting seperti ajaran agama, nasehat, undang-undang dan sebagainya disampaikan dengan menggunakan pengucapan sastera. Kemudian pantun telah muncul sebagai alat pengucapan agama yang berperanan penting dalam menyampaikan pelbagai ajaran Islam.

2. Kegiatan Masyarakat Yang Menggunakan Pantun Sebagai Alat Pengucapan
Seperti masyarakat lain, masyarakat Melayu juga menjalankan pelbagai kegiatan yang menjadi tradisi sejak turun temurun. Tradisi tersebut berhubungan dengan kesenian, ekonomi, keagamaan dan sebagainya. Dalam setiap kegiatan tersebut pantun memainkan peranan menyampaikan dakwah dan ilmu agama Islam. Untuk lebih lanjut, berikut dibincangkan kegiatan tersebut satu persatu.

2.1. Menyambut Hari Kebesaran Islam.

Di alam Melayu terdapat pelbagai hari kebesaran Islam yang disambut sama ada di surau, di mesjid atau di rumah. Di antara hari kebesaran Islam itu termasuk Maulud Nabi, Israk Mikraj, Awal Muharam, Hari Raya dll.

Di beberapa daerah di alam Melayu seperti di Pahang, Kampar (Riau, Indonesia), Minangkabau, Sambas (Kalimantan) dll, ketika menyambut Maulud Nabi dan Israk Mikraj, diadakan pembacaan syair keagamaan atau disebut juga sebagai nazam. Sebelum pembacaan nazam dimulakan, tukang nazam akan menyampaikan pelbagai ajaran agama dalam bentuk pantun sebagai pembuka kepada persembahan syair.

Di Kabupaten Kampar, Riau, Indonesia menyampaikan pantun yang mengandungi ajaran agama dilakukan serentak dengan majelis pembacaan nazam untuk menyambut hari kebesaran Islam. Misalnya “Pantun Fatimah Turun Mandi” ini dibacakan pada majelis membaca nazam di Hulu Tembeling, Pahang.
Malam ini malam Isnen
Esok hari malam selasa
Siti Aisyah turun beramal
Segala malaikat merendah belaka

Malam ini malam selasa
Esok hari malamnya rabu
Segala malaikat merendah belaka
Bagai budak-budak dahaga susu

Hari ini malam rabu
Eso hari malam Khamis
Bagai budak dahaga susu
Siti Fatimahlah tunduk menangis

Malam ini malam Khamis
Esok hari malam Jumaat
Sitilah Fatimah tunduk menangis
Tanda Nabi kasihkan umat

Malam ini malam Jumaat
Malam esok malam Sabtu
Kerana Nabi kasihkan umat
Islam kita menjadi satu

Malam ini malamnya Sabtu
Esok hari malamnya Ahad
Hendak tempat menjadi satu
Di dalam napinya Isbat
(Muhamad Hj. Salleh dan Bazrul Bahaman 2000c: 120).

dan kadang-kadang juga dipanjangkan lagi dengan pantun “Anak Ayam Turun Sepuluh”:
Anak ayam turun sepuluh
Mati seekor tinggal sembilan
Bangun pagi sembahyang subuh
Minta doa’ kepada Tuhan

Anak ayam turun sembilan
Mati satu tinggal delapan
Minta doa’ kepada Tuhan
Kapal sudah dipukul taufan

Anak ayam turun lapan
Mati seekor tinggal tujuh
Kapal sudah dipukul taufan
Kiri dan kanan sudahlah roboh

Anak ayam turun tujuh
Mati seekor tinggallah enam
Kiri kanan habislah roboh
Kapallah sudah hampir terbenam

Anak ayam turunlah enam
Mati seekor tinggallah lima
Kapal sudah hampir terbenam
Tolonglah panggil si tukang cina

Anak ayam turun lima
Mati seekor tinggallah empat
Tolong panggil si tukang Cina
Mana yang renggang hendaklah dirapat

Anak ayam turunlah empat
Mati seekor tinggallah tiga
Mana renggang hendak dirapat
Barulah hati merasa lega

Anak ayam turunlah tiga
Mati seekor tinggallah yang dua
Baharu hati berasa lega
Bolehlah kita belayar semula

Anak ayam turunlah dua
Mati seekor tinggallah yang satu
Boleh kita belayar semula
Harap sampai tempat yang dituju

Anak ayam turunlah yang satu
Mati seekor habislah semua
Harap sampai tempat yang dituju
Baharulah kita aman dan bahagia
(Muhamad Hj. Salleh dan Bazrul Bahaman 2000c: 120).

Syair burung, Syair Ilmu Modal Utama dan Syair Bunga pula adalah tiga buah syair dalam masyarakat Kampar yang isinya juga nasihat tentang agama. Ketiga-tiga syair ini berbentuk pantun, sehingga kadang-kadang agak sulit menentukan sama ada ini syair atau pantun berkait: Sebagai contoh berikut di kutip beberapa bait dari syair Burung:
Si buruong gontar tobang mengirap
Kakinyo panjang malapik sayap
Wahai saudaro ondaklah insap
Ibarat syair pikirkan totap

Buruong marobah babunyi dokek
Di subuoh hari hondaklah ingek
Kato nobi ondaklah ingek
Ingekkan kayo sabolun bansek

Tobang sakawan burung balibi
Ka dalam bonca hinggok baronti
Di buek patona urang mangaji
Baro jahonam tunangan nanti

(Diah 1986: 120)

Selain itu, dalam teks syair sendiri terdapat banyak pantun-pantun yang isinya tentang pelbagai ajaran agama. Tetapi berbeza daripada pantun yang dinyanyikan sebelum bersyair atau ketika berehat.
.
Di dalam masyarakat Minangkabau di Sumatera Barat Indonesia, terdapat pula sejenis tradisi membaca syair yang dikenali “Syalawat Dulang” yang juga di lakukan ketika memperingati hari-hari kebesaran Islam. Pada upacara ini beberapa orang tukang syair akan menyanyikan syair-syair tertentu dengan iringan pukulan dulang tembaga yang berfungsi sebagai alat muzik. Nyanyian-nyanyian syair tersebut juga turut di selang seli dengan pantun-pantun yang isinya mengajarkan pelbagai ajaran Islam.

Di surau-surau tempat bersuluk, pantun juga menjadi sebahagian daripada kegiatan kerohanian para pelatih tarekat. Misalnya Di Desa Sekeladi, Kecamatan Tanah Merah, Kabupaten Rokan Hulu, Riau, Indonesia. Di situ para penganut tarekat akan menyanyikan pantun-pantun tarekat yang isinya seruan amalan-amalan agama (Yusri 1995: 56). Sebagai contoh lihat kutipan berikut.

Melaka berkota batu
Pasang gereja di atas bukit
Tuntutlah ilmu yang nomor satu
Masyhur nama hingga ke langit

Melaka di atas batu
Pasang gereja di atas bukit
Perbuatan jahat bukanlah satu
Berbuat baik ada sedikit

Melaka di atas batu
Pasang gereja di atas bukit
Jangan kamu seperti hantu
Hendak berguru barang sedikit

Melaka berkota batu
Pasang gereja di atas bukit
Mengaji Quran biarlah tentu
Pahala besar bukan sedikit

Pantun tersebut dinyanyikan secara beramai-ramai sebelum masuk waktu subuh. Menurut mereka pantun ini di cipta oleh seorang guru tarekat yang terkenal bernama Abdul Wahab Rokan. Dalam keadaan ini pantun bukan sahaja berfungsi sebagai media menyampaikan ilmu agama, malah pantun turut berfungsi sebagai sebahagian daripada kegiatan ibadah yang mempunyai maksud-maksud kerohanian (Yusri 1995:45).

Guru-guru mengaji Al Quran di sekolah-sekolah rakyat dan surau-surau juga sering mengajarkan pelbagai ajaran agama melalui pantun-pantun yang dinyanyikan dalam bentuk nyanyian kanak-kanak. Kadang-kadang pantun tersebut tidak dinyanyikan, tetapi hanya di hafal oleh kanak-kanak. Misalnya pada pantun kanak-kanak di Bagan Datuk Perak ini:
Kasih pada ibu
Taat pada bapa
Baik tingkah laku
Allah amat suka

Para penceramah dan guru-guru agama pula akan menyampaikan pelbagai ajaran agama dalam bentuk pantun. Melalui pantun ini mereka akan menasihatkan masyarakat dan kadang-kadang juga menyindir dan marah terhadap pelbagai tingkah laku masyarakat yang menyimpang dari ajaran Islam (Muhamad Haji Salleh dan Bazrul Bahaman 1999: 113).

2.2 Ketika Upacara Adat
Pelbagai upacara adat juga menjadi media untuk menyampaikan ajaran agama dalam bentuk pantun. Misalnya dalam upacara mencukur rambut di Kabupaten Kampar, Riau, Indonesia. Setelah dimandikan bayi tersebut akan di letakkan dalam buaian yang di hias cantik dan disaksikan oleh semua hadirin yang hadir pada ketika itu. Kemudian seorang bidan akan mendodoikan bayi tersebut dengan pantun-pantun yang isinya nasihat supaya bayi tersebut bila sudah besar rajin menuntut ilmu agama, taat menunaikan segala ibadah-ibadah seperti sembahyang, puasa, hormat kepada orang tua, taqua kepada Allah dsb. Berikut dapat dilihat sebahagian daripada kutipan pantun tersebut:
Kocik nak cincilak padi
Besar- besar cincilak padang
Ecik-kecik nak duduk mangaji
Sudah besar togak samayang

Di kalangan masyarakat Kaili di Sulawesi pantun-pantun agama dinyanyikan jika ada kematian. Pada malam pertama dan kedua selepas kematian, di rumah si mati akan diadakan upacara membaca Al Quran. Pada malam ketiga barulah didendangkan pantun-pantun yang isinya pelbagai ajaran Islam oleh seorang tukang pantun yang mahir. Di antara pantun mereka dapat dilihat sebagai berikut:
Ane jadi rapopea tanara Bila sawah jadi di tanam
Tunu manu ala kadana Panggang ayam ambil kakinya
Ane nisavi nopakea mpanganya Bila semuanya serba sempurna
Ledo manusia tano Allah Taallah Itu hanya ada pada Allah Taala

Polipaku bulu sudu Toboli Kuberjalan hingga Toboli
Sudu Ampibabo sudu pogula Tiba di Ampibabo mencari gulu
Nojijiri supu manisa momi Duduk berbaris dengan rapi
Supu intona I nur Rasulullah Ikut perangai Rasulullah

(Pengumpul: Gazali Lembah).



Selain itu, pidato-pidato adat yang disampaikan oleh tokoh-tokoh masyarakat juga mengandungi pantun-pantun agama. Sebagai contoh lihat pantun berikut yang dituturkan oleh orang-orang tua dan tokoh adat dalam masyarakat Minangkabau dalam pelbagai pertemuan adat:
Laka jo dulang dalam lubuak Laka dengan dulang dalam lubuk
Sasah kain barendo bukan Basuh kain berenda bukan
Aka hilang paham tatumbuak Akal jo paham tertumbuk
Basarah diri kapado tuhan Berserah diri kepada Tuhan
(H.Idrus Hakimy 1988b: 86).
2.3. Ketika Bekerja
Pantun-pantun yang dinyanyikan untuk menghilangkan rasa penat ketika bekerja juga mengandungi unsur-unsur agama. Namun demikian, unsur-unsur agamanya tidak terlalu jelas, tetapi secara tersirat tetap dapat di semak ajaran agama. Sebagai contoh lihat beberapa bait pantun yang diucapkan ketika mengilang tebu1 dalam masyarakat Kampar Riau Indonesia ini.
Binayang dikampuong tingge Pelepah jatuh di kampung tinggal
Jatuo badorai kono palantiong Jatuh berderai kena pelanting
Sumayang kololah tingge Sembahyang kalau tinggal
Bak sompan karam di botiong Bak sampan di beting


Luwuilah jalan suwau balenggek Luruslah jalan surau berlenggek
Kasimpang jalan kota Medan Ke simpang jalan kota medan
Jan la doso dipabuek Janganlah dosa diperbuat
Sumbayang jan diontikan Sembahyang jangan dihentikan

(Agussalim 1997:35)


Contoh lain lihat lagi pada lagu Samalindang yang sering dinyanyikan oleh para nelayan suku Brunei di Sarawak ini ketika berjalan menuju rumah setelah pulang dari laut:
Jarang-jaranglah dindang dalimo laut
Akanku taruh dindang di atas rumput
Hatiku tarang dindang samanya lindang
Ilmulah Allah dindang akanku tuntut

(Bali bin Yusuf 1982/83:89).


Selain untuk hiburan ketika bekerja, pantun agama juga banyak dinyanyikan dengan iringan alat muzik seperti gendang, gung, cak lempong, biola dll sebagai sebuah persembahan di pentas. Di antaranya seperti Dondang Sayang, lagu-lagu asli, Dikir Barat dll. Walaupun persembahan ini lebih menekankan kepada hiburan, tetapi pantun-pantun yang dinyanyikan juga mengandungi unsure agama. Misalnya dapat dilihat dalam pantun dondang sayang berikut ini:
Sama-sama tetapkan iman
Supaya jangan jadi halangan
Ajal dan maut jodoh pertemuan
Semuanya itu di tangan Tuhan
(Baba Kim Teck tth:20)
2.4. Pantun Kanak-kanak
Dalam pantun kanak-kanak juga sering diselipkan ajaran agama. Misalnya pada pantun kanak-kanak di Bagan Datuk Perak ini:
Kasih pada ibu
Taat pada bapa
Baik tingkah laku
Allah amat suka
(Muhamad Nuri Haji Tahir 1958:8).
Begitu juga ketika orang tua memberi nasihat kepada anak, cucu atau seorang ketua memberi nasihat kepada bawahannya adalah gelanggang tempat pantun diungkap dan diciptakan. Ketika inilah juga pantun-pantun agama juga diucap atau diciptakan.

2.5. Pantun Tertulis

Terdapat cukup banyak pantun yang isinya pelbagai ajaran agama dalam bentuk tertulis atau dicetak. Manuskrip-manuskrip pantun agama ini antaranya dapat dilihat pada sebuah manuskrip yang disimpan di perpustakaan Negara dengan tajuk “Pantun Ibadah”. Manuskrip ini di tulis tahun 1879 dan terdapat 37 bait pantun tentang pelbagai ajaran Islam: Berikut di kutip beberapa bait dari pantun dalam manuskrip tersebut:
Timbus pisang di batas para
Anak ayam jantan betina
Rukun Islam berapa perkara
Itulah hamba hendak bertanya

Anak ayam jantan betina
Lalu menerbang melayang di udara
Tuan itu hendak bertanya
Rukun Islam lima perkara

3. Aspek yang Dibicarakan Dalam Pantun

Sesuai dengan peranan pantun sebagai alat pengucapan, pelbagai ajaran agama terdapat dalam pantun, keseluruhannya dapat dibicarakan sebagai berikut:

3.1 Tauhid

3.1.1 Keesaan Tuhan
Pantun yang berhubungan dengan tauhid kebanyakannya membicarakan tentang keesaan dan kekuasaan Tuhan. Isinya mengajarkan bahawa Tuhan hanya satu, iaitu Allah swt. Tidak ada Tuhan selain daripada Allah. Misalnya pantun berikut:

Banyaklah bulan perkara bulan
Bulan puasa bulannya kita
Banyaklah Tuhan perkara Tuhan
Tuhan yang esa Tuhan kita
(Muhamad Haji Salleh dan Bazrul Bahaman 1999c:120)
Hal yang sama dapat juga dilihat pada pantun suku Saluan di Sulawesi ini:

Kalo unon lapas mo mongkan Kalau adik sudah sarapan
Boli kolilimi layak pae i dungu Jangan lupa sisa nasi ditungku
Kalo oko timbali mian lokan Kalau kamu jadi orang kaya
Boli kolilimi bele nu Tumpu Jangan lupa Tuhan yang satu

(Muhamad Haji Saleh dan Bazrul Bahaman 1999b:105).
Pantun dalam masyarakat Kaili di bawah ini pula menekankan tentang kesempurnaan Allah swt.

Ane jadi rapopea tanara Bila sawah jadi di tanam
Tunu manu ala kadana Panggang ayam ambil kakinya
Ane nisavi nopakea mpangaya Serba sempurna semuanya
Ledo manusia tano Allah Taallah Itu hanya ada pada Allah Taala

(Bazrul Bahaman dan Muhamad Haji Saleh 1999b:105).
Yang lebih menarik lagi, ilmu-ilmu tauhid yang rumit juga turut disampaikan dalam bentuk pantun. Misal pantun-pantun dalam masyarakat Melayu Kampar, Riau, Indonesia ini:
Potang iko potang Sabtu Petangi ini petang Sabtu
Potang isuok potang Ahad Petang esok hari Ahad
Indak bajumpo diujud nan satu Tidak berjumpa diujud yang satu
Cubo tengok di dalam tarekat Cuba tengok di dalam tarekat

Potang iko potang Ahad Petang ini petang Ahad
Potang isuok potang Sanoyan Petang esok petang Senen
Indak basuo di dalam tarekat Tidak bersua dalam terekat
Cubo tengok disimpulan iman Cuba tengok di simpul iman

Potang iko potang Sanoyan Petang ini petang Senen
Potang barisuk potang Salasa Petang esok petang Selasa
Tidak basuo disimpulan iman Tidak bersua disimpulan iman
Disanan umat makolah susah Di sana umat makanya susah
(Yusri 1995:82)
atau pada pantun masyarakat Mandailing berikut ini:

Ana manuk manura Ada burung, burung manura
Penclokane nang suwarga Tempat hinggapnya di surga
Munggahe neng segera iman Naik di lautan iman
Miber lare Mekah Medinah Bulunya terbang di Mekah Madinah
(Pengumpul: Ahmad Samin Serigar).
3.1.2 Kada' dan Kadar
Selain keesaan Tuhan, turut juga dibicarakan tentang kada' dan kadar. Misalnya pada pantun Kampar berikut ini:
Padi sagongam abilah locuo Padi segenggam habislah lecuh
Indak bulio ditumbuk lagi Tidak boleh ditumbuk lagi
Kohondak Allah juo nan sungguo Kehendak Allah juga yang sungguh
Indak dapek kohondak hati Tidak dapat kehendak hati

Duo puluo limo nobi tabiang Dua puluh lima nabi terbilang,
Nobi Muhamad Rosul pilihan Nabi Muhammad rasul pilihan;
Mati doolu atau komudian Mati dahulu atau kemudian,
Itu somuo korojo Tuhan Itu semua kerja Tuhan.

(Mialam: Kampung Pulau Jambu, Kampar, Riau).

3.1.3. Kiamat

Dalam sistem kepercayaan Islam, keyakinan tentang kedatangan kiamat adalah rukun iman yang ke enam. Seorang Islam tidak diterima sebagai Islam sekiranya ia tidak percaya dengan kedatangan kiamat.

Keyakinan tentang kedatangan kiamat sudah meresap dalam jiwa dan kepercayaan orang Melayu. Dalam pantun-pantun sering terdapat gambaran-gambaran tentang kedahsyatan hari kimat yang bakal tiba. Misalnya pantun berikut:

Potang iko potang komi Petang ini petang Khamis
Potang barisuok potang Jumaat Petang besok petang Jumaat
Di sanan umat abih manangih Di sana habis menangis
Manengok hari akan kiamat Menengok hari akan kiamat
(Yusri 1995: 96)
Pantun masyarakat Kampar berikut ini pula menghubungkan tentang keyakinan pada kiamat dengan keyakinan kepada keesaan dan kekuasaan Allah.
Potang iko potang Jumaat Petang ini petang Jumaat
Potang barisuok potang Sotu Petang besok petang Sabtu
Menengok hari akan kiamat Menengok hari akan kiamat
Cubolah tengok diujud nan satu Cubalah tengok diujud nan satu
(Yusri 1995: 96).


3.1.4. Nabi

Terdapat dua puluh lima Nabi yang wajib dipercayai oleh setiap orang Islam. Tetapi yang paling banyak di sentuh dalam pantun ialah Nabi Muhamad saw. Ini dapat difahami kerana Nabi Muhamad adalah nabi yang membawa agama Islam. Nabi Muhamad juga dianggap sebagai Nabi yang paling mulia dan paling tinggi kedudukannya di antara seluruh nabi-nabi. Perkara ini juga disebut dalam pantun masyarakat Kampar berikut ini:
Banyak hari perkaro hari Banyak hari perkara hari
Hari Jumaat hari kito Hari Jumaat hari kita
Banyak nobi pakaro nobi Banyak Nabi perkara Nabi
Nobi Muhamad nobi kito Nabi Muhamad Nabi kita

Duo puluh limo nobi tabilang Dua puluh lima nabi terbilang
Nobi Muhamad Rosul pilihan Nabi Muhammad rasul pilihan
Mati dahulu atau kamudian Mati dahulu atau kemudian
Itu samuo korojo Tuhan Itu semua kerja Tuhan

(Mialam: Kampung Pulau Jambu, Kampar, Riau).

Pantun dari suku Mandailing di bawah ini pula menyentuh tentang bantuan yang akan di berikan oleh Nabi Muhamad di akhirat:

Ta gogo maramal ibadat Tekun kita beramal ibadah
Anso adong balanjo tupudi Untuk belanja dikemudian hari
Tu Tuhanta ma tapasahat Kita serahkan kehadirat Allah
Anso disafaatkon Nabi Mudah-mudahan disyafaatkan Nabi

(Muhamad Haji Saleh dan Bazrul Bahaman 1999b:105
Pantun berikut pula menyentuh tentang sejarah Nabi Muhamad s.a.w

Nabi Muhamad rasul Allah
Lahir di Mekah wafat di Madinah
Ibunya Aminah bapa’nya Abdullah
Menyusukan ie’nya Halimatusya’diah


3.1.5. Malaikat

Malaikat juga disebut dalam pantun. Nama-nama malaikat yang disebut dalam pantun biasanya dihubungkan dengan tugas mereka masing-masing. Misalnya pantun Kampar, Riau, Indonesia berikut ini:
Minum berempat minum diulang Minum berempat minum diulang
Makan nan tidak batambah lagi Makan nan tidak bertambah lagi
Malaikat maut mamanggil pulang Malaikat maut memanggil pulang
Panggilan tidak batangguoh lai Panggilan tidak bertangguh lagi
(Mialam: Kampung Pulau Jambu, Kampar, Riau).
Pada pantun di atas disebut tentang malaikat maut. Malaikat maut adalah panggilan lain oleh orang Melayu kepada malaikat Izrail yang berkerja mencabut nyawa.

3.2 Ibadah

3.2.1 Sembahyang

Orang Melayu melihat sembahyang sebagai ibadah terpenting. Bagi orang Melayu tidak ada yang lebih penting daripada sembahyang. Bahkan segala usaha dan kejayaan yang dicapai tidak ada maknanya jika tidak sembahyang. Sebab itu mereka memandang kehidupan tanpa sembahyang tidak ada gunanya. Dalam pantun disebutkan:
Sebatang pohon daunnya rimbun
Lebat daunnya tiada buahnya
Walaupun hidup seribu tahun
Kalau tak sembahyang apa gunanya

Bahkan konsep mereka tentang “masa” berhubungan langsung dengan sembahyang. Misalnya orang menyebutkan "masuk waktu" yang bermaksud apakah sudah tiba waktu sembahyang. Selain itu sering juga kita mendengar orang yang tidak sembahyang disebut sebagai orang yang "tidak tahu di waktu". Pantun masyarakat Riau, Indonesia ini disebutkan:
Kalilatu layang-layang
Hinggap di pohon seleguri
Tiba waktu bawa sembahyang
Tiba rindu bawa bernyanyi
(Ganti, Dalu-Dalu, Riau, Indonesia).


Sebagai penganut agama Islam, orang Melayu melihat meninggalkan sembahyang sebagai dosa besar yang akan menerima siksaan di akhirat kelak. Dalam pantun disebutkan:

Asam kandis asam gelugur
Kedua ayam si riang-riang
Menangis mayat di pintu kubur
Terkenang badan tidak sembahyang

Oleh yang demikian orang Melayu mendidik anak sejak kecil supaya mencintai sembahyang. Misalnya dapat dilihat dalam pantun mendodoikan anak dalam masyarakat Melayu Kampar berikut:
Dari kecil nak cincilak padi
Sudah besar cincilak padang
Dari kecil nak duduk mengaji
Sudah besar tegak sembahyang
(Mialam: Kg Pulau Jambu, Kampar, Riau).

Pantun berikut pula menasihatkan orang belajar rukun sembahyang supaya sembahyang dapat dilaksanakan dengan sempurna. Lihat pantun masyarakat Melayu Inderageri, Riau, Indonesia berikut ini:
Eloklah padi eloklah boreh Eloklah padi eloklah beras
Kito mangapai di tonga laman Kita menjemur ditengah laman
Eloklah di kaji rukun tigo bole Eloklah dikaji rukan nan tiga belas
Supayo osah togak samayang Supaya sah tegak sembahyang

(Siti Johari 1992:120)

Pantun masyarakat Melayu Ketapang, Kalimantan Barat, Indonesia ini pula mengajarkan tentang manfaat sembahyang dan hubungan iman dengan sembahyang:
Pisang nipah di Batu Layang Pisang nipah di Batu Layang
Nganyam ketupat di jungut tanjung Menganyam ketupat di Jungut Tanjung
Ati susah bawa’ sembahyang Hati susah bawa sembahyang
Di senam iman begantung Di situ tempat iman bergantung

(Muhamad Haji Salleh dan Bazrul Bahaman 1999: 156)

Pantun dalam masyarakat Ketapang Kalimantan Indonesia ini pula menjelaskan bahawa manusia kalau tidak sembahyang tidak akan ada nilainya:
Buat ape pakai batek Buat apa berkain batik
Kalo’ enda’ begambar lang Kalau tidak bergambar helang
Tok ape bewajah cantek Buat apa berwajah cantik
Kalo’ enda’ pegi sembayang Kalau tidak pergi sembahyang

Malam ini malam Juma’at Malam ini malam Jumaat
Besok malam Sabtu Esok malam Sabtu
Kite ini umat Muhamad Kita ini umat Muhamad
Mana’ sampe’ meninggalkan waktu Jangan sampai meninggalkan waktu

(Muhamad Haji Salleh dan Bazrul Bahaman 2000: 204).

Dalam pantun etnik-etnik bukan Melayu di Nusantara lain juga terdapat banyak pantun-pantun yang menyentuh tentang sembahyang. Misalnya pada pantun Jawa yang di dendangkan oleh tukang kentrung berikut ini:
Mayangsari kembange pucang Mayangsari nama bunga pucang
Nggarap sawah nandur jagung Mencangkul sawah menanam jagung
Aja lali anggone sembahyang Jangan lupa tempat sembahyang
Menembah Allah kang Maha Agung Berbakti kepada Allah yang maha agung

(Suripan Sadi Utomo 1993: 142).

atau pada pantun masyarakat suku Kaili berikut ini:

Oli loka ri gade padondona Di pasar pagi membeli pisang
Sole patalaka ri karavana Digoreng disajikan di tengah rumah
Natuvu ane ledo nosabaya Manusia bila tidak sembahyang
Lenje nagaya leria gunana Wajah tampan tak ada gunanya

Notuda pae ri buluna Menanam padi dipergunungan
Haraka uja maromba Mengharapkan datangnya hujan
Ledo nosambaya rikatuvua Tak sembahyang semasa di dunia
Susa ri koro leria puiduna Susah di hati tiada hentinya

Daon waru jari lelayang Daun waru jadi layang-layang
Bau paku sedin erat Petik paku pinggir parit
Pacu-pacu gaweq sembahyang Rajin-rajin mengerjakan sembahyang
Jari sango leq aherat Jadi bekal di akhirat

(Di kumpulkan oleh: Gazali Lembah 1997).


Pantun dalam masyarakat Sasak berikut ini pula menyeru orang agar rajin untuk sembahyang kerana sembahyang adalah bekal untuk akhirat.

Daun waru jari lelayang Daun waru dibuat layang-layang
Bau paku sedih erat Petik paku di pinggir parit
Pacu-pacu gawek sembahyang Rajin-rajin kerjakan sembahyang
Jari songo dateng akherat Untuk bekal dikaherat

(Muahamad Haji Salleh dan Bazrul Bahaman 1999:300)

3.2.2. Puasa

Puasa satu lagi ibadah penting dalam agama Islam. Ia menduduki tempat kedua dalam lima rukun Islam. Puasa dilakukan pada bulan Ramadan, kerana itu bulan Ramadan sering juga disebut sebagai bulan puasa. Orang Melayu seperti juga masyarakat Islam lainnya menganggap bulan puasa sebagai bulan yang paling mulia, segala amal ibadah dilipat gandakan ganjarannya. Justru itu bulan puasa disebut sebagai “bulan kita” yang maksudnya bulan yang dikhususkan untuk umat Islam. Dalam pantun disebutkan:
Banyak bulan perkara bulan
Bulan puasa bulan kita
Banyak Tuhan perkara Tuhan
Tuhan yang esa Tuhan kita

Oleh yang demikian kedatangan bulan puasa selalu disambut oleh umat Islam dengan gembira. Orang Melayu biasanya akan membuat pelbagai persediaan untuk menyambut bulan Ramadan, misalnya menyimpan bekalan makanan, wang, membersihkan rumah dll. Dalam pantun masyarakat Kaili berikut disebutkan:
Reve suruba nupandita Berjumbai-jumbai serban ulama
Nonggeni tongka ante tasabe Memakai tongkat membawa tongkat
Paka rava saliku ante banua Bersihkan rumah dan halaman
Mbasonggo puasa domo masaepa Menyambut kedatangan bulan puasa

(Dikumpulkan oleh: Gazali Lembah 1997).
Sepanjang bulan puasa umat Islam juga di suruh untuk mengelakkan diri daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang tidak baik dan dianggap berdosa seperti mengumpat, mencaci, menfitnah, mencuri, marah-marah dll. Dalam pantun di sebutkan:
Loka ambilao nituda ri bulu Pisang ambon di tanam di gunung
Natuvu sampulu namate sampu Tumbuh sepuluh layu sebatang
Nemo mecaca kamiu risitu Buruk orang jangan dicari
Apa puasa ringanga komiu Bila sedang berpuasa

(Dikumpulkan oleh: Gazali Lembah 1997).
Namun demikian, terdapat juga sebahagian anggota masyarakat yang nakal dengan berpura-pura puasa di depan orang ramai, tetapi di rumah makan secara bersembunyi. Dalam pantun ini mereka ini disindir secara bergurau.
Puasa yang yang yuk
Pagi-pagi buka periuk

Pantun suku Sasak di Lombok, Indonesia ini pula memberi nasihat ketika berpuasa di bulan Ramadan supaya menjaga segala tingkah laku termasuklah tidak mencari keburukan orang lain:
Loka ambilao nituda ri bulu Pisang ambon di tanam di gunung
Natuvu sampulu namate sampu Tumbuh sepuluh layu sebatang
Nemo mecaca kamiu risitu Buruk orang jangan dicari
Apa puasa ringanga komiu Bila sedang berpuasa

(H.Salleh Saidi)

Pada pantun di bawah secara terus terang dan dengan nada agak bergurau mengingatkan supaya sepanjang bulan Ramadan hendaklah puasa sepenuhnya, bukan hanya seminggu.
Reme vula ri vavo bulu Terang bulan di atas gunung
Nadea kabilasa nokumpulu Banyak remaja datang berkumpul
Ane mopuasa rapaka pumpu Bila berpuasa harus penuh
Nemo raola aga saminggu Jangan hanya seminggu

(Muhamad Haji Salleh dan Bazrul Bahaman 1999c:305)

Seterusnya pantun di bawah menggambarkan budaya masyarakat Lombok membersihkan dan mencantikan rumah bila menyambut bulan puasa.
Reve suruba nupandita Berjumbai-jumbai serban ulama
Nonggeni tongka ante tasabe Memakai tongkat membawa tongkat
Paka rava saliku ante banua Bersihkan rumah dan halaman
Mbasonggo puasa domo masaepa Menyambut kedatangan bulan puasa

(Muhamad Haji Salleh dan Bazrul Bahaman 1999c:305)



3.2.3. Haji
Ibadah Haji adalah rukun Islam yang kelima. Dalam budaya Melayu ibadah haji mempunyai nilai yang tersendiri, mungkin kerana susahnya untuk dapat menunaikan haji.Orang yang menunaikan haji akan dipandang mulia. Mereka yang sudah menunaikan haji ke Mekah akan dicirikan dengan memakai kopiah putih dan kadang-kadang juga memakai jubah. Oleh yang demikian, mereka yang belum mengerjakan haji ke Mekah tetapi berpakaian seperti orang yang sudah menunaikan haji akan disindir. Antara sindiran tersebut diungkapkan dalam bentuk pantun dua baris yang sederhana seperti berikut:
Haji kola kolun Haji kola kolun
Haji sudah ka Mokah bolun Haji sudah ke Mekah belum

(Mialam: Kampung Pulau Jambu, Kampar, Riau).

Pantun berikut pula mengungkapkan kelebihan mengerjakan haji ke Mekah.

Budak-budak tamat mengaji
Kain jingga baru disuji
Kalau sampai ke Mekah haji
Dalam syorga baru terpuji
Pantun suku Batak Mandailing di Sumatera Utara berikut pula memperlihatkan pandangan hidup orang Mandailing bahawa menunaikan haji ke Mekah adalah penting bagi orang yang berkemampuan. Ia biasanya juga hasrat tertinggi orang Nusantara dalam beragama.
Muda kehe ho ompung tu Barang toru Kalau nenek pergi ke Batang toru
Angkon palalu tu Sibolga Silahkan teruskan ke Sibolga
Lolot ho ompung mangolu Semoga nenek panjang usia
Lalu muse nian tu Moka Sampai nian ke Mekah

Opat simaropat-opat Empat yang berempat-empat
Namarudut simarlima-lima Dikuti berlima-lima
Baen madung bahat rasoki nan barokat Kerana dah banyak rezeki berkat
Laksanaon kamu rukun nan lima Laksanakan kalian rukun Islam kelima

(Muhamad Haji Salleh dan Bazrul Bahaman 1999c:305)

3.2.4. Zikir

Zikir juga ibadah penting dalam Islam. Bagi masyarakat awam, zikir biasanya dilakukan selepas sembahyang dan mengiringi kegiatan kenduri keagamaan seperti kenduri arwah, wirid Yasin dll. Bagi penganut tarekat pula amalan zikir biasanya lebih penting dan banyak. Mereka harus mengamalkan zikir dengan jumlah tertentu untuk mencapai tahap yang tinggi dalam tarekat. Lihat pantun masyarakat Melayu Musi ini:
Sanak ngure ngikir gergaji Anak muda mengikir gergaji
Kikir patoh gergaji tajom Kikir patah gergaji tajam
Cube terka piker dan kaji Coba terka pikir dan kaji
Muke baso matene tepodom Muka basah matanya terpejam

Kikir patoh gergaji tajom Kikir patah gergaji tajam
Kayu tetok-tok mak jadi papan Kayu dipotong tak jadi papan
Semukene baso mate te podom Muka basah matanya terpejam
Jime besikir adu semohyang Orang berzikir sudah sembahyang

(Gunawan et.al 1996)

Pantun di atas adalah pantun teka-teki. Pada pantun pertama pemantun mengajak berfikir untuk menjawab teka-teki melalui gambaran perilaku orang yang berzikir sesudah sembahyang “cuba terka fikir dan kaji // muka basah matanya terpejam”. Pantun kedua merupakan jawapan kepada teka-teki yang diberikan pada pantun pertama “Muka basah mata terpejam // Orang berzikir sudah sembahyang”.
Malaka berkota batu
Pasang gereja di atas bukit
Kuati zikir sulukmu itu
Jangan dibimbang nyamuk menggigit
(Yusri 1993: 86).
Pantun di atas pula berupa nasihat kepada penganut tarekat ---mungkin nasihat dari seorang guru tarekat kepada muridnya--- supaya berzikir dengan rajin.

3.2.5. Membaca Quran

Membaca Quran satu lagi amalan penting dalam Islam. Masyarakat Melayu mulai mengajar anaknya membaca Al Quran sejak kanak-kanak lagi. Mereka membaca Al Quran sama ada di rumah, di surau atau di mesjid. Pantun di bawah memperlihatkan pandangan orang Melayu tentang membaca Quran mempunyai dua manfaat, iaitu di dunia dan akhirat. Di dunia membaca Al Quran dapat memberikan kenikmatan dan akhirat pula mendapat pahala yang akan memasukkan seseorang ke dalam syurga. Dalam pantun disebutkan:
Terpuji sekali tuan bertamat
Dalam dunia terlalu jimat
Baca kitab memberi nikmat
Dalam syurga dapat selamat
(Yusri 1995)
Begitu juga dengan pantun kedua menyebutkan tentang besarnya pahala membaca Quran.
Malaka berkota batu
Pasang gereja di atas bukit
Mengaji Quran biarlah tentu
Pahala besar bukan sedikit
(Yusri 1993: 92)
Pantun dalam masyarakat Kaili di bawah ini pula menyeru orang supaya rajin membaca al Quran, kerana al Quran itu dapat menjadi penawar kepada hati yang susah.
Ane maria momi ri lamari Bila ada makanan di lemari
Patalaka ri bavo meja Sajikan dan makan bersama
Ane maria susa ri rara ntai Bila terasa susah di hati
Ane kora baca paka gana Baca Quran tenang semula

(Dikumpulkan oleh: Gazali Lembah).

3.2.6. Akhlak

Selain itu cukup banyak juga pantun-pantun yang berhubungan dengan akhlak seperti menghormati orang tua, takbur, sabar, jujur, larangan berbuat fitnah dan sebagainya. Pantun yang menyuruh menghormati ibu bapa misalnya dapat dilihat pada pantun masyarakat Melayu Inderagiri berikut:
Ana kayak turunlah tigo Anak ayam turunlah tiga
Mati satu tinggallah duo Mati satu tinggallah dua
Badan tabakar menjadi baro Badan terbakar menjadi bara
Sebab manyangga ibu bapo Sebab menyanggah ibu bapa

Anak ayam turunlah duo Anak ayam turunlah dua
Mati satu tinggalah satu Mati satu tinggallah satu
Sebab manyanggah ibu bapo Sebab menyanggah ibu bapa
Lupo diwujud nan satu Lupa diwujud nan satu

(Muhamad Haji Salleh dan Bazrul Bahaman 1999:121)

Pantun masyarakat Melayu Kampar berikut pula melarang bersikap takbur:

Mulah kito poi mandi Marilah kita pergi mandi
Mandi jangan berkubang tanah Mandi jangan berlumur tanah
Omulah kito poi mangaji Marilah kita pergi mengaji
Mangaji jangan babuek pitona Mengaji jangan berbuat fitnah

(Siti Johari 1992: 116)

Pada pantun Simalungun di bawah ini mengingatkan pula kepada orang supaya jangan berbohong dan berkata sesuatu yang tidak baik:

Ditampul bulung bira Dipotong daun talas
Diparsaong bulung siala Dipernaung daun “siala”
Tona ni Nabinta Sabda Nabi kita
Ulang kita marhata sala Jangan kita berkata salah

(Pengumpul: Perauren Sukapiring)


3.2.7. Nasehat Untuk Beriman

Iman bermaksud keyakinan kepada Allah. Keyakinan kepada Allah adalah tonggak kepada keseluruhan agama. Sebab itu dua pantun suku Kutai ini memberi nasihat kepada kita supaya menjaga iman.
Hati yang sedih bawa sembahyang
Mohonlah doa kepada Tuhan
Peganglah iman jangan bergoyang
Orang beriman kekasih Tuhan

Bacalah hadis kedua Quran
Sembahyangpun kini jangan tinggalkan
Kalau nafas masih di badan
Ajaran nabi harus kembangkan

Pantun masyarakat Melayu Ketapang, Kalimantan ini pula mengajak kita supaya selalu menginsafi akan dosa-dosa yang kita lakukan.
Mana’ menulis di atas kace Jangan menulis di atas kaca
Menulislah di atas meje’ Menulislah di atas meja
Mana’ menangis kerana cinte Jangan menangis kerana cinta
Menangislah kerana dose Menangislah kerana dosa

(Pengumpul: Chairil Effendi)






4. Mati dan Alam Akhirat


4.1. Hidup Akan Mati

Setiap yang hidup akan mati. Menurut kepercayaan orang Melayu kematian adalah sesuatu yang sudah ditentukan Tuhan dan tidak boleh diubah lagi masa dan tempatnya. Dalam pantun orang Melayu Kampar, Riau, Indonesia berikut disebutkan:

Iyo manangguok di topian Mari menangguk di tepian
Dapek anak si lida-lidan Dapat anak si lida-lidan
Mati tidak dapek onggan Mati tidak dapat di tahan
Serahkan nyawo kapada Tuhan Serahkan nyawa kepada Tuhan

(Diah 1986:120)

Pada pantun berikut pula dijelaskan bahawa tidak ada orang yang dapat mengelakkan mati, walaupun ia seorang yang alim dan mempunyai ilmu agama yang tinggi atau seorang pendekar sekalipun:
Nabi Yunus turun ka Pasir Nabi Yunus turun ke pasir
Tibo dipasir menjala ikan Tiba di pasir menjala ikan
Jiko tibo alim pandekar Jika tiba alim Pendekar
Nyawo kamano dilarikan Nyawa kemana dilarikan

(Diah 1986: 180).
Pantun berikut pula menyentuh tentang kematian akan berlaku bila malaikat maut mencabut nyawa seseorang.
Minum berempat minum diulang Minum berempat minum diulang
Makan nan tidak batambah lagi Makan nan tidak bertambah lagi
Malaikat maut mamanggil pulang Malaikat maut memanggil pulang
Panggilan tidak batangguoh lai Panggilan tidak bertangguh lagi
(Mialam: Kampung Pulau Jambu, Kampar, Riau).


Pantun di bawah ini pula menyentuh tentang hakikat mati seperti yang diajarkan oleh Islam. Menurut Islam, mati bukan berakhirnya kehidupan, sebaliknya mati adalah permulaan daripada kehidupan hakiki yang disebut akhirat. Di sini tempat bermula kehidupan baru, yang kekal abadi. Pada pantun di bawah ini kematian diumpamakan seperti pulang ke kampung halaman: Lihat pantun berikut:
Kainlah putio disambunyikan Kainlah putih disembunyikan
Kain palekat dikampuhkan Kain pelekat dikampuhkan
Urang nan mati jan diibokan Orang nan mati jangan dihibakan
Urang baliok ka kampuongnyo Oranglah balik ke kampungnya

(Diah 1986: 130)

Jadi kehidupan ini tidak ubahnya seperti perantau yang singgah sementara dalam perjalanan menuju ke negeri akhirat sebagai kampung halaman.

Pada pantun anak ayam ini pula, kehidupan dunia diumpamakan seperti belayar dengan kapal di lautan yang penuh gelora dalam perjalanan menuju negeri akhirat.

Anak ayam turun sembilan
Mati satu tinggal delapan
Kapal belayar ke laut Seilan
Hampir mati kelaparan

Anak ayam turun delapan
Mati seekor tinggal tujuh
Hampir kelasi mati kelaparan
Kerana kapal hendak rubuh

Anak ayam turun tujuh
Mati seekor tinggal enam
Kerana kapal jatuh rubuh
Banyak kelasi mati terbenam

..................................

Anak ayam turun tiga
Mati seekor tinggal dua
Agar belayar bagai semula
Mohon pada maha kuasa

Anak ayam turun satu
Mati seekor habis semua
Moga-moga kami bersatu
Masuk kami dalam syurga

Selain itu, terdapat juga pantun-pantun yang menceritakan tentang keadaan ketika

mati. Misalnya pantun masyarakat Melayu Kampar berikut:

Tibarou dirompak patin Tibarau dirempuh patin
Dirompak patin tobing saborang Di rempuh patin tebing seberang
Badorau air talokin Berderau air talkin
Urang nan banyak babalik pulang Orang yang banyak berbalik pulang

(Diah 1986: 210)

Pantun di atas menceritakan tentang keadaan mayat setelah dikuburkan "Berderau air talkin // orang yang banyak berbalik pulang". Dua bait maksud pantun tadi menggambarkan keadaan mayat setelah dikuburkan, orang menyiramkan air talkin. Sebaik sahaja air talkin tersebut sampai kepada mayat di bawah tanah, orang berangkat pulang. Tinggallah mayat sunyi keseorangan di dalam kubur.

Pada pantun berikut pula diceritakan tentang keadaan manusia yang sudah meninggal dunia. Pada hakikatnya ia sudah tidak ada lagi, walaupun masih berada dalam kain kafan di atas rumah.
Picok picik si murai mandi Berkicau di murai mandi
Mandi batimbo kulit lokan Mandi bertimpa kulit lokan
Hilang kamano kan di cari Hilang kemana akan dicari
Hilang dipaluik kain kopan Hilang dibalut kain kapan

(Diah 1986:200)

Setelah manusia mati, pertama sekali yang akan dihadapi adalah kubur yang sunyi tanpa kawan. Keadaan ini digambarkan dalam pantun sebagai berikut:

Rumah ketek batiang saribu Rumah kecil tiang seribu
Rumah bosar batiang sabatang Rumah besar bertiang sebatang
Hiduik di dunia bantu membantu Hidup di dunia bantu membantu
Di dalam kubur terbaring surang Di dalam kubur terbaring seorang

(Diah 1986: 156).


Ketika itu yang tinggal hanya amal ibadat yang akan dapat menolong. Kalau di dunia ibadah dan kebajikan banyak maka selamatlah ia di kubur kalau tidak celaka yang akan menimpa. Peristiwa ini dikisahkan dalam pantun sebagai berikut:
Anak ayam turun sambilan
Mati satu tinggallah lapan
Amal ibadat pengganti badan
Awak diam sebalik papan

Sesuai dengan kehidupan dunia yang sementara, manusia diingatkan supaya mengutamakan kehidupan akhirat daripada kehidupan dunia, kerana harta dunia hanya untuk sementara. Setelah kita mati harta tidak akan memberi manfaat sama sekali. Bahkan kalau tersalah menggunakan harta, akan membawa ke dalam neraka. Dalam pantun perkara ini dijelaskan sebagai berikut:
Kulit lembu celup samak
Mari buat tapak kasut
Harta dunia jangan tamak
Kalau mati tidak ikut

Kain jawa belinya larang
Dia dibeli di pekan lama
Janganlah hawa dibesarkan
Hidup di dunia tidakkan lama

hal yang sama dapat juga dilihat pada pantun masyarakat Melayu Kutai berikut ini:


Gitak cikar liq sukadane Lihat bendi di Sukadana
Lamun kereta eleq eat Tapi ayam hutan di kali
Endeq ingkar iliq Allah Taala Jangan Ingkar pada Allah Taala
Laun nyerake eleq akherat Akan sengsara di akhirat nanti

(Pengumpul: Charil Effendi)

5. Sejarah Islam

5.1. Kisah Nabi
Dalam penyebaran Islam, selain ajaran tentang ketuhanan (tauhid) dan ibadah-ibadah khusus (fekah) turut juga disebarkan pelbagai sejarah tentang para nabi, sahabat-sahabat Nabi dan orang-orang soleh. Berikut dikutip contoh beberapa bait pantun yang isinya tentang kisah para nabi:

Datuk Panglima di tengah pintu,
Ia membuat sebiji pedang;
Tuhan terima tanahnya itu,
Lalu dibuat lembaga Adam.

Dia membuat sebilah pedang,
Disimpan gula dengan sirih;
Sudah ada Nabi Adam,
Ada pula Nabi Idris.

Disimpan gula dengan sirih,
Datang ia dari tanah;
Sudah ada Nabi Idris,
Ada pula Nabi Noh.

.....................................

Dua puluh lima nabi terbilang,
Nabi Muhammad rasul pilihan;
Mati dahulu atau kemudian,
Itu semua kerja Tuhan.

Dua puluh enam jerat kutahan,
Kena seekor rusa jantan;
Sudah patut terima balasan,
Kerana kita derhaka Tuhan.

(Siti Johari 1992: 120)

Pantun berikut pula menyentuh tentang cucu Baginda Nabi Muhamad saw iaitu Hassan dan Hussin
Hassan jo Husin anak Ali
Mati berperang sabilullah
Semenjak lama ditinggal nabi
Banyak agama nan berubah
(Siti Johari 1992: 111).

5.2 Sedekah

Dalam pantun Melayu saya tidak menemui secara langsung yang menyebut tentang sedekah. Tetapi pada pantun masyarakat Kaili berikut ini jelas menyeru orang supaya bersedekah bagi tujuan membantu orang miskin.
Polipaku ri Nupaboma Kuberjalan ke Nupabomba
Nesai ri Kayumaboko mbatunju Singgah di Kayumaboko membakar dupa
Ane maria marata rasi madea Bila mendapat rezki yang banyak
Bagika kenika tokasi ribanuana Beri sedikit pada yang susah

Manu puti netu ri nunu Ayam putih bertenggek dipohon beringin
Nombaraga manu nggakayu Untuk mengejar ayam hutan
Nambaraga manu ngamate Harta tidak untuk mati
Kenika ante tosusa sakide Berikan sebahagian untuk orang susah

(Pengumpul: Gazali Lembah)

6. Keutamaan Menuntut Ilmu

6.1. Galakan Menuntut Ilmu Agama
Cukup banyak juga pantun-pantun yang menyeru untuk mempertingkatkan ilmu agama. Contohnya dapat dilihat pada pantun-pantun yang dinyanyikan ketika mendodoikan anak di Riau, Indonesia ini:
Dari kecil cincilak padi
Sudah besar cincilak padang
Dari kecil duduk mengaji
Sesudah besar tegak sembahyang

Pucuk dedap selara dedap
Sudah bertangkai setapak jari
Duduklah anak membaca kitab
Sesudah pandai tegak berdiri
(Siti Johari 1992: 98)

Pantun yang dinyanyikan oleh para pengamal tarekat Naksabandiah di Bengkalis Riau ini pula menggalakkan menuntut ilmu bagi semua orang menuntut ilmu agama dan membaca Quran:

Melaka berkota batu
Pasang gereja di atas bukit
Tuntutlah ilmu yang nomor satu
Masyhur nama hingga ke langit

Melaka berkota batu
Pasang gereja di atas bukit
Mengaji Quran biarlah tentu
Pahala besar bukan sedikit
(Yusri 1993: 78)
Selain itu terdapat juga pantun-pantun yang menyeru untuk meningkat latihan dan pengajian tarekat. Lihat pantun-pantun dalam masyarakat Melayu Kampar berikut ini:
Kok iyo kito kan mandi Kalau sungguh kita kan mandi
Ambiek palekat di ate salang Ambil pelekat di atas siling
Kok iyo kitokan mati Kalau sungguh kita kan mati
Kaji tarikat hondak dipatorang Kaji tarekat hendaklah diperterang
(Yusri 1993: 190).

7. Teguran Terhadap Masyarakat dan Tokoh Agama

7.1 Kritikan Terhadap Tokoh Agama
Nampaknya pantun tidak hanya menyeru kepada kebaikan, tetapi pantun juga sensitif dengan pelbagai kepincangan agama. Tokoh-tokoh agama seperti siak mesjid, imam, bilal dan kadhi sering menjadi sasaran. Misalnya pada pantun berikut ini:
Lagi lebai lagi berjanggut
Naik ke balai terhinggut-hinggut
Sahaja Pak lebai buta perut
Haram halal bubuh di mulut

Pantun berikut pula mengkritik sebahagian tokoh agama yang suka mencari hiburan yang

tidak sesuai dengan Islam seperti joget dan wayang.

Pucuk keladi terkuit-kuit
Rendam sedikit jadi mayang
Menengok haji menari joget
Imam khatib bermain wayang

Pantun masyarakat Indragiri Hulu di bawah ini pula mengeritik sikap sebahagian anggota masyarakat yang suka mengumpat dan memfitnah ditemapat-tempat pengajian.
Omulah kito poi mandi Mari kita pergi mandi
Mandi jangan bakubang tanah Mandi jangan berkubang tanah
Omulah kito poi mengaji Mari kita pergi mengaji
Mangaji jangan babuk pitona Mengaji jangan buat fitnah
(Siti Johari 1992: 116).

Kadang-kadang kritik disampaikan secara sindiran dan simbolik, tetapi masyarakat cukup faham dan terasa ketajamannya. Misalnya pada pantun berikut:
Sejak tungau berbini tuma
Banyaklah angsa menimang taji
Sejak harimau menjadi ulama
Banyaklah rusa datang mengaji

Kritik masyarakat pada pantun berikut disampaikan dengan nada jenaka, tetapi cukup tajam, sehingga pantun ini tidak sahaja menimbulkan kritikan tetapi juga suasana jenaka yang akan menyebabkan khalayaknya ketawa:
Tembuk labu di balik peti
Daun cabai dipatuk balam
Menengok penghulu asyik berjudi
Turun Wak Lebai menyabung ayam

Pucuk bayam si pucuk kangkung
Batang keladi di balik kandang
Menengok imam duduk mencangkung
Orang mengaji golek gelentang

Sejak belimbing bersimpai rotan
Banyaklah pinang bersalut duri
Sejak wak kambing memakai sorban
Banyaklah orang menjemput kenduri

Waktu duduk menanti malam
Banyaklah sampah dibakarnya
Waktu beruk menjadi imam
Banyaklah fatwa di tukarnya


7.2. Sindiran Terhadap Mereka yang Meninggalkan Amalan Agama

Seiring dengan galakan beragama, masyarakat juga perlu disindir jika meninggalkan amalan agama. Cara begini biasanya lebih berkesan untuk menegur mereka yang lalai dalam mengamalkan agama. Lihat pantun berikut:
Puasa yang yang yuk
Pagi-pagi buka periuk

Pantun berikut pula menasihatkan supaya menjauhkan dosa dan perbuatan yang tidak baik.

Malaka di atas batu
Pasang gereja di atas bukit
Pekerjaan baik bukanlah satu
Mengapa di asyik makyong dan joget
(Yusri 1992: 89).

8. Pantun Mempermainkan Agama

Agak aneh, selain terdapat pantun-pantun yang menyeru kepada ajaran Islam, kritik terhadap masyarakat dan sanjungan terhadap Islam, terdapat pula pantun yang isinya seakan-akan mempermainkan agama Islam. Misalnya pantun berikut:
Bismillah bismikok
Ada kerja ada rokok

Pantun ini mungkin datang dari mereka yang kurang mengambil perhatian terhadap agama, terutama generasi muda.

Pantun Taubat

Pantun Narativ
Pantun dengan bentuknya empat baris sulit untuk menungkang fikiran-fikiran yang rumit
Pantau berkait
Pantun berkait menunjukkan fikiran yang mendalam
Pemikiran dihuraikan dengan jelas.
Misalnya pantun anak ayam, pantun berbilang hari, dll.
Dia seperti sebuah esei, tetapi lebih menarik.




9. Pantun dan Agama Dalam Dunia Moden

Penggunaan pantun sebagai alat pengucapan agama di dunia moden tidak sepenting dalam masyarakat tradisional. Namun demikian bukan bermakna terhenti sepenuhnya. Di dalam ceramah-ceramah agama pantun kadang-kadang masih digunakan oleh para pendakwah ketika menjelaskan sesuatu dalam ceramah. Misalnya ada sebuah keset ceramah agama diberi judul “Kerana Pulut Santan Binasa”. Judul ini sebenarnya dari pantun tradisional yang berbunyi “Kerana pulut santan binasa/ Kerana mulut badan binasa”. Di pelbagai ceramah agama para penceramah kadang-kadang masih menggunakan pantun dalam sebagai gaya retorik. H.M Tantawi Yunus dari Medan Indonesia menulis tiga buah buku pantun agama yang bertajuk 1. Pantun Adap Sopan Santun (Akhlak) 2. Pantun Tauhid 3. Pantun Puasa. Ketiga-tiga buku tersebut diterbitkan oleh Penerbit Bustanul Qur’an Medan.









10. Kesimpulan

Pantun adalah alat pengucapan agama yang penting dalam masyarakat Melayu. Dengan pantun ajaran Islam dapat sampaikan dalam semua keadaan dan kepada semua golongan. Ajaran Islam disampaikan ketika bekerja, sambil berhibur menyaksikan persembahan, ketika mengikuti upacara adat, ketika menidurkan bayi, ketika bergurau di beranda rumah, ketika mengikuti pelbagai kegiatan agama dan sebagainya. Ini menjadikan pantun memainkan peranan penting sebagai; (1) sebagai alat untuk ibadah (2) media penyampaian ilmu (3) alat untuk mengkritik kepincangan masyarakat (4) alat untuk motivasi masyarakat supaya taat beragama.
Pantun sebagai karya sastera tidak hanya mampu berfungsi sebagai alat pengucapan seni, tetapi juga mampu berfungsi sebagai media pengucapan ilmu yang mendalam. Seperti di sentuh di atas, pelbagai ilmu dapat disampaikan dengan media pantun, seperti ilmu tasawuf, fikah, sejarah Islam, astrologi, ilmu bahasa dll.
Keupayaan pantun berperanan sebagai alat pengucapan agama merupakan sesuatu yang istimewa, kerana hanya ada dua bentuk puisi yang dapat berperanan sebagai alat pengucapan agama di Nusantara, iaitu syair dan pantun. Bentuk syair mungkin tidak terlalu aneh jika dapat berperanan sebagai alat pengucapan agama, kerana bentuk puisi ini hanya menuntut seragaman jumlah baris setiap bait, keseragaman suku kata setiap bait dan kesamaan rima akhir. Ini menyebabkan bentuk syair tidak terlalu sulit dan agak longgar. Bahkan kalau tidak kerana tipografinya ia hampir menyerupai prosa. Ini menjadikan syair suatu bentuk puisi yang dapat memberi ruangan yang luas untuk narasi-narasi yang panjang. Berlainan dengan pantun, ia suatu bentuk puisi yang tidak hanya diikat ketat oleh bentuk, tetapi juga diikat oleh isi. Pengarang pantun harus mendapatkan keseragaman tipografi iaitu 4-8 baris setiap bait, 8-12 suku kata setiap baris, rima akhir a/b/a/b dan terdiri dari dua bahagian, bahagian pertama pembayang, bahagian kedua isi. Namun demikian masyarakat Nusantara tetap mampu untuk menyampaikan narasi-narasi yang panjang dalam bentuk pantun. Bahkan fikiran-fikiran yang rumit masih dapat dituangkan oleh orang Nusantara dalam bentuk pantun. Ini menunjukkan kehebatan orang Nusantara mengolah bentuk pantun untuk berperanan sebagai alat pengucapan dalam pelbagai aspek kehidupan mereka.
















RUJUKAN

Agussalim 1997. Fungsi dan Nilai Pantun Dalam Mengilang Tebu di Kedesaan Si Pungguk Kecamatan Bangkinang Barat. Skripsi Jurusan Bahasa dan Sastera Indonesia Fakultas Keguruan dan Ilmu Pendidikan Universitas Islam Riau.

Bali in Yusuf 1982/83. Nyanyian rkyat Suku Brunei di Weston. Sabah. Latihan Ilmiah Jabatan Persuratan Melayu. Universiti Kebangsaan Malaysia.

Baba Kim Teck (tth). Pantun-pantun Dondang Sayang. Melaka: (t.pt).


Bazrul bin Bahaman 2001 : Pantun Anak Ayam dan Pantun Berbilang Hari dan Konteks
Sosial Masyarakat Hulu Tembeling: Kertas kerja Seminar Persuratan Pahang:
Anjuran bersama Universiti Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim, Jabatan
Kebudayaan & Kesenian Pahang dan Dewan Persuratan Melayu Pahang.

Bazrul bin Bahaman 2001: Undang-undang Dalam Bujang Tan Domang.
Pembentang kertas kerja Seminar Kesusasteraan dan Undang-undang. Anjuran
Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya

Bazrul bin Bahaman 2000 : Orang asing dalam Pantun Melayu.
Kertas kerja Bengkel Pandangan Semesta Melayu Dalam Puisi-puisi Melayu
Tradisional: Pantun. Anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Diah, M (et al) 1986: Sastra lisan Riau. Pekanbaru: Departemen Pendidikan dan
Kebudayaan RI.

H. Idrus Hakimy Dt. Rajo Penghulu 1988a. Pegangan Penghulu, Bundo Kanduong dan Pidato Alua Pasambahan Adat di Minangkabu: Penerbit PT Remaja Rosdakarya. Bandung.

H.Idrus Hakimy.Dt.Rajo Penghulu 1988b: Rangkaian Mustika Adat Basandi Syarak di Minangkabau. Penerbit PT Remaja Rosdakarya. Bandung.

Tenas Effendi 1990. Pandangan orang Melayu terhadap anak. Pekanbaru: Lembaga Adat Daerah Riau.

Tenas Effendi 1990. Kelakar dalam pantun Melayu tinjauan singkat. Pekanbaru:
Lembaga Adat Daerah Riau.

Muhamad Haji Salleh dan Bazrul Bahaman 1999a. Sejarah kritikan asal-usul
perkembangan, sebaran, bentuk dan estetika pantun dalam bahasa-bahasa Nusantara Jilid I : (Draf awal untuk penerbitan buku).

Muhamad Haji Salleh dan Bazrul Bahaman 1999. Sejarah kritikan asal-usul
perkembangan, sebaran, bentuk dan estetika pantun dalam bahasa-bahasa Nusantara Jilid II (Lampiran 1:Pantun bahasa-bahasa Nusantara): Draf awal untuk penerbitan buku.

Muhamad Haji Salleh dan Bazrul Bahaman 1999. Sejarah kritikan asal-usul
perkembangan, sebaran, bentuk dan estetika pantun dalam bahasa-bahasa Nusantara Jilid III (Lampiran 2: Pantun berdasarkan fungsinya): Draf awal untuk penerbitan buku.

Siti Johari 1992: Studi pantun tarekat di Rantau Kuantan Indragiri Hulu Propinsi Riau.
Skripsi Sarjana Pendidikan Bahasa dan Sastera Indonesia, FKIP Universiti Islam Riau.

Suripan Sadi Hutomo (Ed) 1993. Pantun kentrung. Jakarta: Yayasan Obor

1994 : Pemetaan Sastera Lisan Daerah Riau: Laporan penyelidikan: Pusat
Pengajian Melayu Universitas Islam Riau).

Yusri 1995. Bentuk dan Fungsi Syair Sindiran Tarekat Naksabandiah di Desa Sekaladi Kecamatan Tanah Putih Kabupaten Bengkalis: Skripsi FKIP UIR.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan