Selasa, 20 Oktober 2009

Kajian Bintang Dua Belas

Oleh
Dr. Bazrul bin Bahaman




1. Pengenalan


Manuskrip ini berada dalam simpanan perpustakaan negara yang disimpan di pusat manuskrip Melayu no Cod. Keseluruhan manuskrip ini setebal 90 halaman. Keseluruhan mengandungi 200.000 patah perkataan.

Sebenarnya teks ini merupakan terjemahan daripada sebuah kitab dalam bahasa Arab yang disebut sebagai kitab Abi Maa’shar Al Falaki. Abi Mahsyar Al-Falaki mungkin bukan tajuk asli buku ini, tetapi hanya nama pena bagi pengarangnya. Tetapi adalah menjadi kebiasaan dalam tradisi tulis Melayu, kitab-kitab terjemahan kadang-kadang dikenali berdasarkan nama pengarangnya. Misalnya Kitab kitab “berzanji” berzanji disebut kitab “berzanji” sempena nama pengarangnya Ja’afar Al Bazanji. Sebab itu keterangan dari penterjemah yang menyebutkan bahawa teks ini sebagai teks terjemahan dari kitab “Abi Mahsyar Al-Falaki” bukan bermakna tajuk asal buku ini “Abi Mahsyar Al Falaki”, tetapi sebenarnya ialah nama pengarangnya. Nama tersebut juga mungkin bukan nama lahir, kerana nama tersebut menunjukkan kepakarannya sebagai seorang ahli ilmu bintang.

Kitab ini tidak menyatakan dengan terperinci tentang penulis atau penterjemah kitab ini. Dalam teks hanya disebutkan “Kitab Abu Maasyar Al Falaki atau Bintang Dua Belas. Di salin oleh Muhamad Husin bin Jakfar Pejabat Tanaman Kulim”. Dari kutipandi atas dapat diketahui bahawa tulisan Muhamad Husin Jakfar yang bekerja dipejabat tanaman Kulim. Tetapi tidak dapat dipastikan sama ada Muhamad Husin sama ada penyalin sahaja atau penterjemah. Berdasarkan perkataan “di salin” menunjukkan Muhamad Husin hanya menyalin dari kitab lain yang sudah diterjemahkan oleh orang lain.

Namun demikian, jelas kitab ini diterjemahkan oleh seorang ilmuan yang mahir dalam bahasa Arab sehingga dapat menterjemahkan kitab ini dengan baik. Kemampuan penterjemah menterjemahkan kitab ini dalam bahasa Melayu yang baik, juga menunjukkan bahawa penterjemah ini seorang yang mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang luas dalam kerja-kerja mengarang.

Selain teks ini terdapat sebuah manuskrip lain yang disimpan di muzium Terengganu setebal 105 muka surat dengan jumlah perkataan sekitar 210.000 patah perkataan. Kitab ini juga terjemahan dari kitab Abi Maasyar Al Falaki dilakukan oleh Wan Ismail bin Yusuf, tinggal di Kampung Pauh.

Antara kedua teks ini tidak terdapat banyak perbezaan. Dari segi isi hampir tidak ada yang berbeza. Perbezaan hanya terdapat dari segi bahasa dan susunan bahagian-bahagian tertentu. Tetapi bahasa dan struktur teks menunjukkan kedua teks ini bukan berasal dari salinan naskhah yang sama.

Isi kitab ini dapat dibahagi kepada enam bahagian, iaitu:
1. Ramalan tentang apa yang akan berlaku pada tahun tersebut
2. Tentang saat yang baik dan nahas untuk melakukan sesuatu
3. Menentukan siapa yang kalah dan siapa yang menang
4. Menentukan anak dalam kandungan lelaki atau perempuan
5. Melihat watak dan meramal yang akan berlaku kepada orang lelaki.
6. Melihat watak dan meramal yang akan berlaku kepada perempuan.

Bahasa

Bahasa yang digunakan dalam kedua-dua teks ini adalah bahasa Melayu tinggi yang cukup baik. Ia menunjukkan penterjemah adalah seorang pengarang yang berpengalaman dan biasa dengan kerja mengarang. Ayatnya cukup baik dan tidak terlalu ke Araban, walaupun kitab ini merupakan terjemahan.

Perkataan-Perkataan asing juga tidak banyak, dan terbatas kepada nama-nama khas. Nama-nama khas tersebut meliputi nama-nama bintang dalam budaya masyarakat Kibti, istilah-istilah perubatan, dan nama-nama suku. Nama-nama khas ini dalam terjemahan moden juga memang tidak di tukar. Nama-nama khas yang penulis maksudkan ialah: Makar, Buruj, Safar, Mubsir kubti, Mabhat, Gharib, Tahmidah, Kahwa, Banir, Balgham.

Struktur Teks

Struktur teks tidak jauh berbeza dengan manuskrip-manuskrip Melayu yang lain. Dimulai dengan puji-pujian kepada Allah dan petikan daripada ayat Al Quran. Kemudian diikuti dengan sedikit penjelasan tentang pengarang. Dalam penjelasan tentang teks dinyatakan tujuan penulisan teks dan pernyataan merendah diri pengarang.

Bitang 12 Sebagai Ilmu Bintang dan Ilmu Penujuman

Harun Mat Piah, Ismail Hamid et.al (2000: 5-4-507) dalam membahagikan genre sastera tradisional membuat suatu penggolongan yang dinamakan genre Kepustakaan Melayu. Genre Kepustakaan Melayu ini termasuklah:
1. Ilmu bintang
2. Ilmu penujuman, ramalan atau firasat
3. Ilmu perubatan, perdukunan dan perbomohan
4. Ilmu bahasa
5. Ilmu hisab atau hitungan
6. Ilmu tanaman
7. Ilmu bedil
8. Ilmu pertukangan, termasuk rumah dan senjata
9. Ilmu birahi
10. Lain-lain, misalnya perwayangan atau perdalangan, tarian menyabung ayam dan lain-lain.

Ketika menjelaskan tentang Ilmu Bintang Melayu Harun Mat Piah et.al menjelaskan bahawa ilmu astroogi atau horoscop dihubungkan dengan ilmu nujum, ramal, takbir, raksi dan sebagainya. Ilmu ini dapat dibahagi kepada beberapa kelompok:
1. Kutika atau ketika: Iaitu ilmu mencari waktu yang baik dalam melakukan sesuatu upacara, membuat peralatan, bercucuk tanam, perlakuan, dll.
2. Nujum, ramalan dan rejang: Iaitu cara untuk mengetahui apa yang telah dan akan dilakukan berdasarkan bilangan hari dan bulan dalam seminggu, sebulan dan setahun.
3. Raksi atau kias: iaitu meramalkan keserasian pasangan yang akan berkahwin; juga keserasian hari dan waktu akan menjalankan sesuatu pekerjaan.
4. Ilmu firasat: Mengetahui perangai seseorang berdasarkan bentuk tubuh, tanda-tanda pada badan, wajah malah bau peluh.
5. Takbir, khususnya takbir mimpi: iaitu bentuk ramalan dengan mentafsir mimipi menurut waktu, hari dan sebagainya.
6. Katuranggan, padah, atau mimpi; iaitu meramalkan baik atau jahat sesuatu binatang berdasarkan tanda pada tubuh dan gerak geri; juga padah dan alamat terhadap binatang-binatang yang memasuki rumah.

Ilmu ini menjadi suatu budaya Melayu yang wujud sejak lama. Dalam cerita-cerita penglipur lara dan cerita-cerita rakyat sering disebutkan tentang adanya ahli nujum yang meramalkan nasib dan masa depan putera raja yang baru lahir. Kadang-kadang ahli nujum juga meramalkan nasib yang akan menimpa negara. Bahkan kedudukan seorang ahli nujum setaraf dengan menteri kanan yang dekat dengan raja. Raja akan segera meminta bantuannya untuk menentukan apa yang akan berlaku kepada negara pada masa akan datang, dan ramalan tersebut sangat dipercayai oleh raja. Teks-teks cerita penglipurlara juga sering menceritakan tentang ketepatan ramalan ahli nujum ini.

Dalam kitab-kitab sastera sejarah yang berbentuk tertulis kisah-kisah tentang ketepatan ramalan ahli nujum penting. Misalnya dalam Hikayat Jambi dikisahkan bagaimana Tun Telanai dibuang oleh ayahndanya kerana ia diramalkan akan membunuh ayahndanya bila sudah dewasa. Ramalan tersebut ternyata tepat, setelah dewasa ia membunuh ayahndanya sendiri.

Dalam cerita penglipurlara juga sering disebutkan bahawa ahli nujum membuat ramalan dengan membuka kitab atau pustakanya. Ini menunjukkan bahawa kitab ramalan memang menjadi pegangan ahli nujum. Ia menjadi kitab sakti yang dipelihara dengan baik dan ahli nujum akan menyemak kitab tersebut sebelum membuat ramalan. Setiap ramalan dibuat berdasarkan kitab nujum tersebut. Bintang 12 mungkin salah satu daripada kitab sering yang dipakai oleh ahli nujum dalam membuat ramalan.

Walaupun kitab ini terjemahan dari kitab bahasa Arab, tetapi cukup popular di alam Melayu. Ini dapat dibuktikan dengan adanya terjemahan lain selain yang dijadikan bahan kajian ini. Bahkan jika dilakukan penyelidikan mungkin lebih banyak lagi akan ditemui. Ini menunjukkan bahawa kitab ini mempunyai pengaruh dalam ilmu penujuman di dunia Melayu.

Isi

Kitab ini adalah sebuah kitab ramalan yang membuat ramalan tentang beberapa perkara. Pertama tentang perkara yang akan terjadi pada tahun tersebut. Ini dikira berdasarkan kepada hari yang jatuh pada hari yang ke tujuh tersebut. Misalnya jika hari ke tujuh jatuh pada hari Ahad, maka dikuasai oleh bintang Syamsi. Pada tahun itu diramalkan banyak penyakit mata dan banyak kesusahan bagi perempuan yang hamil. Banyak peperangan, gerhana bulan sedikit dan susah untuk pergi naik haji, tetapi yang mengerjakan haji akan pulang dengan selamat. Makanan, buah-buahan, sarang lebah, dan susu pada musim panas juga banyak, tetapi menyebar penyakit gatal.

Jika masuk hari Isnen dikuasai oleh bintang Qamar. Banyak buah-buahan dan akan terjadi peperangan besar. Di tanah Hijaz banyak pohon kurma, banyak perempuan hamil. Tahun ini panas kuat dan sejuk juga kuat. Banyak yang mengidap penyakit dada dan banyak juga kematian.

Jika masuk hari Selasa di kuasai oleh Marikh, tahun tersebut akan sejahtera. Orang sehat dan hanya ada sedikit kesusahan, tetapi akhirnya banyak kesenangan dan buah-buahan menjadi. Sedikit kekurangan gandum dan syir kerana adas banyak dalam negeri. Banyak kematian pada kanak-kanak dan orang yang sudah tua.

Jika masuk hari Rabu, dikuasai oleh Utarik. Dalam tahun tersebut banyak penyakit, banyak pergaduhan, banyak kesusahan bagi perempuan yang hamil dan orang-orang besar banyak yang mati di dalam negeri tersebut. Pada akhir tahun negeri di datangi angin besar beberapa hari.

Jika masuk hari Khamis bintangnya di kuasai Musytari. Tahun itu sedikit hujan dan buah-buahan kurang. Makanan mahal, padi dan gandum yang ditanam di tempat-tempat yang tinggi pada akhir tahun lebih baik daripada kebiasaanya. Terjadi juga gerhana yang dapat dilihat dibahagian negeri.

Jika masuk hari Jumaat di kuasai Zuhrah. Angin kuat dan hujanpun banyak, baik bagi tumbunhan dan binatang. Banyak pencuri dan susah bagi perempuan yang hamil. Di akhir tahun kesenangan datang dan perempuan gemuk. Di Mekah muncul seorang pemimpin yang berasal dari Syam dan menetap ia di Madinah.

Jika hari Sabtu di kuasai bintang Zuhal. Tahun ini tidak begitu sesuai bagi binatang. Banyak ternakan yang mati. Banyak terjadi peperangan dan penyakit cacar. Banyak burung-burung yang menyebabkan banyaknya buah korma yang binasa. Tetapi buah anggur menjadi, harga kambing dan minyak sapi ada negeri yang mahal dan ada negeri yang murah. Banyak perempuan hamil yang gugur dan banyak juga berlaku perceraian. Orang-orang tua yang pertengahan umurnya dan perempuan banyak yang mati. Banyak penyakit demam dan wabak, gerhana bulan dan matahri terjadi. Tetapi gandum atau padi menjadi.

Dalam ramalan ini dapat dilihat bahawa ramalan berkisar tentang beberapa perkara:

1.`Kesehatan

Hampir setiap tahun yang diramal membuat ramalan tentang kesehatan, sama ada penyakit banyak atau tidak. Misalnya jika awal tahun itu masuk hari Ahad diramalkan akan banyak penyakit. Selain itu disebutkan juga penyakitnya, diantara penyakit-penyakit yang sering disebut ialah cacar, penyakit mata, wabak, dan penyakit kanak-kanak.

Selain itu banyak juga disebut tentang keadaan perempuan hamil. Hampir setiap ramalan tentang perkara yang akan terjadi di tahun berikutnya, ada yang berhubungan dengan susah atau senangnya bagi perempuan yang hamil. Misalnya jika awal tahun itu bermula hari Rabu, maka perempuan hamil tahun tersebut susah. Dan yang agak menarik lagi, kadang-kadang turut diramalkan tubuh perempuan tahun tersebut banyak yang gemuk atau tidak.

Kadar kematian juga menjadi perhatian dalam membuat ramalan. Biasanya diramalkan tentang bagaimana kadar kematian dan golongan bagaimana yang banyak mati. Misalnya jika awal tahun masuk hari Selasa banyak mati orang tua-tua dan kanak-kanak. Jika awal tahun itu hari Rabu diramalkan pula banyak kematian dikalangan pembesar-pembesar. Jika masuk awal tahun itu hari Khamis diramalkan akan ramai orang kaya yang mati.

Kemanan

Selain kesehatan, keamanan negeri juga menjadi perhatian dalam meramalkan apa yang akan terjadi pada tahun tersebut. Yang diramalkan ialah tentang peperangan. Misalnya jika masuk awal tahun itu hari Selasa diramalkan akan berlaku peperangan di negeri Syam. Kadang-kadang tidak disebutkan negerinya, hanya disebutkan akan berlaku peperangan besar.

Selain itu, juga diramalkan tentang pergaduhan, misalnya jika awal tahun jatuh hari jatuh hari Rabu akan terjadi banyak pergaduhan. Dalam satu ramalan disebutkan juga bahawa dalam tahun tersebut banyak pencuri.

Keadaan Politik

Keadaan politik dalam negeri juga diramalkan, tetapi tidak banyak, misalnya jika awal tahun hari Selasa, maka diramalkan pemerintahan yang ada di negeri Khurasan akan berganti dengan orang lain.

Pertanian

Pertanian dan perdagangan merupakan kegiatan ekonomi masyarakat tradisional. Dalam konteks teks ini pertanian yang diramalkan merujuk kepada jenis tanaman di negari Arab seperti kurma, gandu dan syir. Tanaman padi yang kadang-kadang muncul dalam ramalan ini mungkin merupakan usaha penterjemah untuk menysuaikan dengan keadaan tempatan. Walau bagaimanapun, ini belum berjaya dan tanaman-tanaman Arab masih menjadi fokus dalam setiap ramalan dalam manuskrip ini.

Ada beberapa perkara yang diramal, iaitu keadaan pertanian keseluruhan, tanaman kurma, gandum, syir dan buah-buahan. Jenis tanaman ini paling banyak di buat ramalan, mungkin kerana tanaman ini merupakan makan utama bagi negeri Arab. Misalnya jika awal tahun masuk hari Selasa diramalkan gandum, syir akan banyak dinegeri tersebut. Buah-buahan pula hanya sekali disebut dalam ramalan.

Tanaman dunia Melayu yang disebut dalam ramalan hanya padi yang disebut seiringkan dengan gandum. Mungkin dalam membuat ramalan, tanaman gandum akan disesuaikan dengan padi. Misalnya jika awal tahun masuk hari Khamis, maka diramalkan gandum atau padi yang ditanam ditempat tinggi tidak menjadi. Selain itu turut diramalkan tentang ternakan. Misalnya jika tahun itu awalnya jatuh pada hari Sabtu diramalkan binatang akan banyak mati.

Cuaca
Ramalan keadaan cuaca sepanjang tahun tersebut juga banyak muncul dalam manuskrip ini. Paling banyak disebut ialah keadaan hujan, kemarau, ribut, angin kencang dan gerhana. Kadang-kadang ramalan ini diikuti pula dengan ramalan tentang akibat yang ditimbulkan oleh cuaca tersebut. Misalnya jika awal tahun masuk hari Khamis diramalkan hujan sedikit, akibatnya tanaman tidak menjadi dan penyakit akan banyak pada pokok-pokok tersebut. Jika awal tahun tersebut masuk hari Jumaat akan banyak hujan dan tanaman menjadi.

Selain itu diramalkan juga keadaan bulan dan matahari. Misalnya jika awal tahun masuk hari Jumaat diramalkan berlaku gerhana bulan yang dapat dilihat disebahagian negeri. Tahun tersebut juga diramalkan keluar satu bintang daripada beberapa bintang berekor.

Harga Barang

Harga barang juga sering menjadi ramalan, sama ada harga barang pada tahun tersebut murah atau mahal. Kadang-kadang harga barang makan itu disebutkan secara khusus jenisnya. Misalnya jika wal tahun jatuh pada hari Sabtu diramalkan harga minyak sapi dan anggur murah tetapi kambing sebahagian negeri mahal dan sebahagian negeri murah. Di negeri syam pula makanan dan arak mahal. Selain itu dalam ramalan juga sering ditambah dengan ramalan tentang apa yang berlaku di akhir tahun. Misalnya ribut kencang akan terjadi pada akhir tahun, harga barang mahal dan sebagainya.

Saat yang Baik dan Saat yang Nahas

Selain dari ramalan tentang apa yang berlaku sepanjang tahun, dalam kitab ini juga terdapat ramalan tentang saat-saat yang baik dan nahas untuk melakukan sesuatu. Ini dikira berdasarkan hari dan bintang, misalnya hari Ahad bagi orang yang berbintang Zuharat tidak baik, dan jangan berbuat sesuatu melainkan berkasih sayang. Tetapi bagi orang berbintang Utarik adalah baik untuk belayar.

Selain saat yang baik dan saat yang tidak baik berbuat sesuatu yang dinyatakan secara uumum terdapat beberapa perkara yang disebutkan secara khusus. Perkara-perkara yang disebutkan tersebut ialah
1. Saat Untuk Belayar
b. Meminang
c. Menulis azimat
d. Menjatuhkan Talak
d. Menghadap Raja
e. Mengeluarkan Darah atau berbekam
e. Menggali Perigi

Watak dan Ramalan Nasib Manusia Berdasarkan Bintang
Isi teks pada bahagian ini merupakan ramalan terhadap watak dan nasib manusia berdasarkan bintangnya. Ada dua belas bintang yang dikira berdasarkan bulan. Berdasarkan bintang inilah dibezakan nasib manusia. Bintang-bintang tersebut ialah
1. Hamal
2. Tsur
3. Jauza
4. Sirton
5. Asad
6. Sanabila
7. Mizan
8. Akrob
9. Kaus
10. Jadyun
11. Dali
12. Hut

Berdasarkan bintang dan watak seseorang akan dapat diramal nasib dan perwatakknya. Misalnya mereka yang dilahir pada bintang Hamal, jika lelaki hitam manis, tinggi dan besar kepalanya akan bersifat pemarah tetapi cepat baik. Selalu berpindah dari suatu tempat ke tempat lain. Berkata-kata dengan benar dan benci kepada pembohongan. Kadang-kadang ia miskin, kadang-kadang ia kaya.

Lelaki yang dilahirkan pada bintang Tsur, jika dahinya luas, agak putih kulitnya dan besar kepalanya. Mukanya pula agak hitam, bahunya bidang, pinggangnya ramping, dan kecil dua tapak kakinya. Ia suka berjimak dengan perempuan, suka bersolek dan melapangkan hati. Ia tidak beruntung dalam bersahabat.

Lelaki yang dilahir pada bintang Jauza, putih kuning atau putih merah dan cantik wajahnya. Mulutnya pula luas, sederhana tingginya, elok dua matanya dan dua keningnya, pandai berusaha dan cerdik. Di mukanya pula ada suatu tanda atau dikepalanya ada tahi lalat. Akan banyak sahabat dikalangan orang besar-besar. Tidak tetap dalam sesuatu hal. Ditakuti padanya ketika umur tiga puluh tahun dan dalam umur lima puluh dan tujuh puluh.

Kesimpulan

Manuskrip ini lahir dalam masyarakat tradisional yang kehidupan mereka banyak dipengaruhi oleh sistem kepercayaan, yang meyakini adanya Tuhan yang menentukan nasib manusia sebelum ianya berlaku. Oleh yang demikian apa yang akan berlaku kepada seseorang dapat diramalkan. Ramalan ini dapat dikehaui berdasarkan pelbagai hal seperti bintang, fizikal, tarikh lahir yang di dalamnya mengandung rahasia tentang masa depan.

Walaupun bintang dua belas merupakan teks terjemahan, tetapi sebelum ini dalam Melayu juga sudah tertanam sistem kepercayaan yang meyakini kemampuan orang-orang tertentu mengetahui nasib manusia di masa depan. Mereka disebut sebagai ahli nujum. Para ahli nujum ini dipercayai dapat berhubungan dengan kuasa gahib dan mengetahui rahasia tentang nasib manusia. Oleh yang demikian, tidak hairan jika kitab Bintang 12 ini diterima oleh orang Melayu sebagai kitab nujum. Bahkan mereka sangat pempercayainya. Ini dapat dibuktikan dengan terdapatnya terjemahan kitab ini yang menyebar di alam Melayu.

Selain itu, manuskrip ini juga memberikan gambaran tentang budaya, nilai, perialaku masyarakatnya Melayu di zaman tersebut. Budaya mereka seperti merantau, perang, belayar, berniaga dan sebagainya. Juga nilai-nilai masyarakat tradisional seperti menyanjung sifat sabar, taat beribadah, jujur dan sebagainya.

3 ulasan:

  1. Bagus sekali ada kajian seperti ini kita dapati di laman web. Di negara Kesultanan Sulu masi ada Kitab Bintang 12 kita temui dalam bahasa Suluk. Kemungkinan kitab yang ada di kesultanan Sulu juga diterjamah dari terjemahan Melayu atau dari Bahasa Arab.

    Ini adalah satu keunikan Nusantara pada jaman dahulu. Satu Agama, Satu Budaya dan Satu Rumpun.

    BalasPadam
  2. sangat bermanfaat sekali blognya ustad


    http://ilmupelet7.blogspot.com/2013/11/ilmu-pelet.html

    BalasPadam