Selasa, 20 Oktober 2009

Silsilah Tambusai Dalam Manuskrip Sejarah Tambusai

oleh: Dr. Bazrul Bahaman

1. Tentang Manuskrip

Manuskrip milik perpustakaan Nasional Indonesia dengan nombor cod ML. 100. Berukuran 15.4 X 19.8 cm. Setiap halaman terdiri daripada 3-19 baris. Jumlah keseluruhan halaman manuskrip 58 halaman. Terdapat empat halaman yang kosong. Manuskrip di tulis dengan tulisan Jawi menggunakan dakwat hitam. Kertas ini tidak mempunyai klofon.

Isinya terdiri daripada empat bahagian (fasal). Bahagian pertama menceritakan tentang silsilah Raja Rambah, bahagian kedua silsilah Raja Mandang Kota Raja dan bahagian ketiga tentang silsilah Raja Kepenuhan dan Mandang Kota Raja.

2. Silsilah Raja Rambah

Pada ketika itu Tambusai adalah Kerajaan terbesar di Rokan. Ia keturunan daripada Pagaruyung. Pada masa itu yang memerintah ialah yang di Pertuan Tua. Ia ada dua orang bersaudara, yang seorang perempuan bernama To’ Permaisuri. Yang Dipertuan Tua mempunyai tiga orang adik beradik, dua laki-laki dan seorang perempuan. Yang Perempuan bernama Siti Dualam, yang laki-laki Tengku Raja Muda dan Yang Dipertuan Akhir Zaman. Kemudian Tengku Raja Muda meminta kebenaran dari ayahndanya untuk mendirikan sebuah kerajaan sendiri. Setelah dipersetujui perjanjian maka Tengku Raja Muda pun dibenarkan membuka negeri. Isi perjanjian tersebut berbunyi begini:

“Pertama-tama apabila menaikkanlah pihak kami akan raja/kerajaan, melainkan raja Tambusyailah akan menaikkan kami hingga sampai kepada anak cucu kami. Dan kedia pabila putus raja yang kerajaan pihak kami yang pergi ini, melainkan raja Tambusyailah yang boleh menggantikannya. Ketiga janganlah berdengki aniaya antara dua pihak itu. Keempat apabila suku pihak yang di Tambusai masuk pihak kami, atau suku pihak yang kami /suku/ masuk pihak yang tinggal di Tambusyai, yang tidaklah boleh ditegah dan dilarang. Kelimaanya apabila pihak kami yang pergi itu tiada menurut adat pusaka, melainkan bolehlah ia pulang ke Tambusyai. Segala rakyat yang pergi itu, raja Tambusyai empunya rakyat yang tidak boleh ditegah dilarang. Keenam apabila mengikut raja kepada pihak yang pergi itu, melainkan segeralah memberitahu kepada Tambusyai, mengantarkan baju helat dan syahab muka, di Tambusyai demikian juga”.

Setelah dipersetujui perjanjian tersebut, maka Tengku Raja Muda di anugerahkan rakyat dan alat kebesaran. Kemudian Tengku Raja Muda pun membuka negeri di Kalu Batang Lubuk. Kerena negeri tersebut di rambah oleh orang Tambusai, maka negeri tersebutpun di namakan negeri Rambah.

Setelah Tengku Raja Muda mangkat di gantikan oleh anaknya bergelar Yang Dipertuan Besar. Kemudian setelah Yang Pertuan Besar mengkat diganti oleh Yang Dipertuan Jamalul Alam. Setelah Yang Dipertuan Jamalul Alam di ganti oleh Yang Dipertuan Sakti. Setelah Yang Dipertuan Sakti mangkat diganti oleh Yang Dipertuan Besar. Setelah yang Dipertuan Besar mangkat di ganti oleh Putera baginda yang bergelar Yang Dipertuan Besar (Marhum Galia).

*****















3. Raja Mandang Kota Raja

Di Negeri Luak Talba Simalungun di perintah oleh Raja Mukat Syimabuana. Baginda mempunyai seorang adik yang bernama Tajambasa Nabaru. Mukat Syibuana mempunyai empat orang anak, iatu Apun Cindai Halus, Raja Apun Tanjangangan, Raja Sandi Tua, Raja Syammandasyana.
Raja Syammandasyahna pergi ke negeri Jambak Toba dan mendapat dua orang anak yang bernama Raja Sandi Tua dan Mara Galimpang. Keduanya menjadi raja dalam negeri Jambak Toba. Kemudian Raja Sandi Tua dan Mara Gelimpang ke negeri Kota Betung. Mereka berebut seekor gajah. Maka di gelar orang raja gelipang raja gelimpung. Perebutan ini mencetuskan permusuhan. Raja Gelimpung pergi ke negeri Kandang Kopuh dan pecah peperangan, Raja Gelimpung lari ke Luak Barumum dan Raja Gelimpang pergi pula pergi ke negeri Karang Besyar.

Raja Gelimpung menyerang Karang Besyar, Raja Gelimpang meminta damai dengan menyerahkan seorang anak perempuannya. Maka dibuatlah perjanjian damai yang menyatakan jika ada musuh sama di lawan. Tapi perjanjian damai itu tidak berjalan lama. Keduanya berperang kembali.

Kemudian itu datang pula musuh raja Gelimpang menyerang negeri Mandang Tua, Raja Gelimpang undur ke Negeri Mandam Tua, dari Mandam Tua Raja Gelimpang terus ke negeri Pisang Kelat, kemudian ke Paninggahan. Dari Peninggahan undur pula ke Dusun Tua. Kemudian undur pula ke Lubak Cerai. Mufakat Raja Bangun dengan Sultan Zainal anak Maharaja Karang Besyar. Di buat sumpah yang menyatakan “Jika datang musuh dari menyerang Raja Bangun atau Sultan Zainal, sama-sama dilawan. Keduanya jika berjanji tidak akan bermusuh. Barang siapa melanggar perjanjian ini, tidak akan selamat seumur hidupnya. Maka mufakatlah anak Raja Gelimpang yang bernama Raja Bangun dengan Zainal Abidin anak Maharaja Karang Besyar untuk berdamai. Maka dipersetujui perjanjian yang bunyinya:

“Dan barang siapa dengki aniaya daripada dua pihak kita ini, dan jikalau musuh sama di lawan; jikalau tumbuh daripada raja Karang Besar atau tumbuh musuh dari pihak kai pun demikian juga. Dan barang siapa antara dua pihak kamipun demikian juga. Dan barang siapa antara dua pihak kita ini tiada seikut sekata atau tumbuh silang selisih daripada negeri yang keluaran atau perda’waan, melainkan Allah Taala selama-lamanya serta tiada dapat selamat seumurnya hidup, demikian adanya. Raja Bangun pun pergi ke negeri Kotaraja dan Sultan Zainal ke negeri Tambusai Tinggi iaitu di Muara Tambusai”.

Raja Bangun mempunyai seorang anak bernama Raja Palindungan. Raja Palindungan pula mempunyai dua orang anak yang bernama Sutan Bangun Kambing/Janjang dan Sutan Baginda Raja. Sutan Bangun Kambing Janjang pergi ke Mandang Tua dan Sutan Baginda Raja pergi ke Parik. Anak Sutan Baginda Raja ada seorang bernama Sutan Abdullah. Sutan Abdullah pula mempunyai seorang anak yang bernama Sutan Baginda Raja. Anak Sutan Baginda Raja bernama pula Sutan Napasari yang bergelar Sutan Parlaungan.

Anak Sutan Bangun Janjang dua orang seorang bernama Sutan Napasari seorang bernama Sutan Pakal Palindungan. Sutan Naparasi dari Mandang Tua lalu pergi ke Kotaraja. Sutan Naparasi mempunyai empat orang anak yang masing-masing bernama Sutan Bangun, Sutan Saripada Mahadum, Sutan Khalifatullah Lubu’ Bunut, Sutan Kuraikah Pandayungan (Yang Dipertuan Bangun Syah). Sultan Bangun mempunyai delapan orang anak (1) Raja Asala, (2)Sutan Pandayungan (3) Maharaja Sutan (4) Raja Martandang (5) Sutan Mulia (6) Raja Lela (7) Sutan Manglambai (ibunya orang Mandilayang Banuraja). (8) Sutan Parlawanan.

Saripada Mahadum anaknya seorang sahaja (tidak disebutkan nama anaknya). Raja Asala anaknya dua orang seorang bernama Raja Bangun dan seorang bernama Sutan Bangun. Anak Raja Bangun bernama Raja Mara Kahasa dan anak Raja Mara Kahasa bernama Saripada. Anak Sutan Bangun bernama Usman. Usman mempunyai tiga orang anak, bernama Maharaja Pakih, Raja Pasa dan Raja Dibalang. Maharaja Pakih mempunyai dua orang anak, seorang bernama Raja Alam dan seorang bernama Raja Takur. Anak Raja Pasa bernama Raja Lapa.

Sultan Khalifatullah mempunyai dua orang anak, seorang bernama Sutan Abdullah dan seorang Sutan Khalifatullah. Sutan Khalifatullah anaknya bernama Tuanku Haji Tua dan Tuanku Haji Muhamad Sutan. Anak Sutan Parlawan bernama Raja Mahadum dan anak Raja Mahadum bernama Raja Palembang. Anak Kuru karkah Pandayungan mempunyai tiga orang anak salah seorang bernama Sutan Kemala Batukaji. Anak Sutan Kamala Batukaji bernama Raja Muda. Anak Raja Muda Pula bernama Raja Khamala. Anak Raja Khamala bernama Raja Parasi. Anak Raja Parasi pula bernama Sutan Kuru Karkah Pandayungan. Anak Sutan Karkah Pandayungan bernama Sutan Naparasi. Sutan Naparasi mempunyai tiga orang anak. Masing-masing bernama Maharaja Dolok, Raja Sabungan dan Kali Ibrahim. Anak Raja Dolok bernama raja Palawan.Anal Kali Ibrahim bernama Sataming dan anak Raja Sabungan bernama Hampung.















4. Silsilah Raja Kepenuhan

Setelah Negeri Johor pecah kerana diserang musuh, Rajanya yang bernama Raja Purba masuk lari ke Rokan bersama sebelas orang panglima yang gagah-gagah dan sejumlah rakyat. Kemudian mereka mudik ke Kuala Batang Syasah. Setelah sampai di kuala sungai Rokan mereka tertarik pada tempat tersebut dan bermaksud untuk menetap di situ. Raja Purba pun menghantar utusan kepada Raja Tambusai yang bernama Raja Abdullah untuk meminta kebenaran tinggal dan membuat negeri di situ. Raja Tambusai setuju dan diberi kuasa hingga ke hilir Sungai tersebut, tetapi tetap di bawah naungan raja Tambusai. Kawasan tersebut diperintah berdasarkan peraturan (Teromba besar) yang berlaku dalam negeri Tambusai. Sebarang peraturan baru atau perubahan dari peraturan yang berlaku dalam negeri Tambusai harus dengan izin raja Tambusai.

Pada mulanya Raja Tambusai mengaturkan orang-orang Raja Purba kepada tujuh suku, tetapi Raja Purba mahu dibahagi kepada sebelas suku berdasarkan sebelas panglima yang dibawa bersama. Kemudian sebuah perjanjian dipersetujui bersama yang berbunyi:

“Dan barang siapa kami yang sebelas pihak serta kami segala raja-raja mengubahi ata ‘aturan adat dan pusaka yang datang daripada Raja Tambusai itu, dan lagi jikalau ada perkara yang di dalam kami yang tiada habis, melainkan hendaklah kami kabarkan melainkan kena hukumanlah kami daripada Raja tambusai serta akan sumpah setia yang diperbuat ini hingga sampai kepada anak cucu yang terkemudian kepada kami ini. Dan lagi tiadalah kami mengubahi segala-gala perkataan teromba besar yang pegangan Raja Tambusai itu adanya. Dan lagi jikalau barang siapa sekalian kami mungkir daripada segala padan janji ikat karangan yang diikrarkan dahulu itu, melainkan kena kutuk seribu siang dan seribu malam serta ditimpa daulat sultan Iskandar Zulkarnain dan tiada selamat selama-lamanya adanya”.

Perjanjian ini terjadi pada tahun 2745 tahun zai. Setelah itu Raja Purba terus hilir. Setelah sampai di kuala Batang Syasah Raja Purba tertarik pada tempat tersebut dan mengambil keputusan untuk membuat negeri di situ, tetapi empat orang pembesarnya tidak setuju, mereka mahu membuat negeri di pulau berhampiran Kuala Sungai Rokan seperti rancangan awal. Tetapi Raja Purba tetap berkeras untuk membuka negeri di kawasan kuala Batag Syayah. Maka pecahlah mereka. Akhirnya sebelas pembesar (kerapatan) itu mengadap Raja Tambusai. Ketika mengadap Raja Tambusai tujuh suku setuju untuk membuka negeri di Kuala Batang Syasya mengikut raja mereka, sedangkan empat suku lagi tetap berkeras tidak mahu mengikut Raja Purba, mereka tetap mahu membuka negeri di hilir dari kuala Sungai Batang Syasa. Setelah berbincang dengan pembwsar sembilan suku di Tambusai, Raja Tambusai mengambil keputusan untuk memecahkan kumpulan tersebut. Tujuh suku membuka negeri di Kuala Batang Syasya mengikut raja mereka. Empat suku lagi dihantarkan oleh ke tujuh suku yang mengikut raja mereka untuk membuka negeri di Pulau ke hilir dari Kuala Sayasa. Kerana mereka di hantar oleh ke tujuh suku yang mengikut Raja Purba ke pulau tersebut maka di namakanlah pulau itu Pulau Antar.
Sedang tujuh pembesar yang mengikut raja Purba pun membuat istana yang lengkap, rajanya enggan kerana tetap tidak mahu pindah dari rakit. Ia mahu dibuatkan sebuah rakit yang besar dan indah sebagai istana. Akhirnya dibuat sebuah rakit yang besar, lengkap dan indah sebagai istana Raja Purba. Tetapi setelah membuka negeri tersebut, raja Purba sebuk dengan hiburan dan bersuka ria sahaja. Makin lama makin lalai, lama-kelamaan ia zalim, habis semua perempuan sama ada gadis atau isteri orang diambilnya untuk memuaskan nafsu. Sehingga para pembesar tujuh suku menjadi marah, kehidupan rakyat menjadi miskin dan sentiasa dalam ketakutan. Akhirnya ketujuh pembesar tersebut berpakat dengan empat pembesar yang membuka negeri di Pulau Antar untuk menghadap Raja Tambusai.

“Baiklah kita mupakat dengan kaum kita yang empat pihak yang didalam paulau Antar, sebarang mana mupakatkan dengan kaum kita yang empat pihak yang di dalam Pulau Antar, dan sebarang mana-mana mupakat yang baik boleh sama-sama kita mempahamkan daripada hukuman raja kita ini”.

Baiklah kita mudik ke hulu mengadap raja Tambusai supaya ia tahu akan hal kita ini, minta carikan adat pusakanya akan hal kita yang demikian ini”.

Mereka mengadap raja Tambusai dan meminta supaya dikenakan tindakan terhadap raja mereka sesuai dengan undang-undang (tambo besar) yang berlaku di negeri Tambusai dan meminta supaya Raja Purba di bunuh, tetapi Raja Tambusai menolak permintaan para pembesar tersebut.

“Tiadalah sampai hemat kita akan merusak raja itu, kerana kita tua di dalam Luwa’ Rokan ini, lagipun kita pegang aturan yang dahulu-dahulu sampai sekrang ini, maka tiadalah sampai hemat kami yang demikian itu”…Maka habiskanlah dahulu mufakat dan kebulatan mereka sebarang mana-mananya kerana belumlah kita putuskan hukumannya, demikianlah adanya”.

Akhirnya para pembesar tersebut pergi ke Rokan Kiri dan berjumpa dengan raja Kuanta. Raja Kuanta setuju untuk membunuh raja Purba, tetapi dengan syarat jika berjaya membunuh Raja Purba segala harta yang di dalam istana rakit itu harus diserahkan kepada Baginda.
“maka jawab Raja Kuanta kepada orang yang datang itu. “Dan jikalau begitu akan kelakuan raja itu yang tiadalah patut, maka tidaklah di dalam adat dan pusaka raja itu membuat yang demikian itu kepada mereka sekalian…”

“Adalah padan janji kita apabila mati raja mereka itu dengan sebab aku perbuat, maka hendaklah mereka pulangkan seisi rakit itu kepada yang demikian itu, tetapi yang patik pohonkan segala anak buah patik di dalam rakit itu boleh patik pulangkan sekalian kepada ibu bapanya”

Para pembesar tersebut setuju tetapi perempuan yang diambil oleh Raja Purba harus diserahkan kembali kepada orang tua mereka.

Setelah kesepakatan diambil, maka Raja Kuanta dan pembesar tersebut pergi ke istana Raja Purba. Mula-mula mereka memutuskan tali pengikat rakit tersebut. Orang-orang yang di dalam istana rakit tersebut tidak sedar kerana mereka sebuk dengan menari dan bersuka ria. Sehingga istana rakit tersebut hanyut ke Teluk Rantau Kenawang. Di situlah Raja Kuanta membunuh Raja Purba. Semua barang dalam rakit itu diambil oleh Raja Kuanta dan perempuan yang diambil oleh Raja Purba dipulangkan kepada orang tuanya sesuai dengan perjanjian.

Kemudian para pembesar pergi menyerah diri kepada Raja Tambusai dan meminta keluarga Tambusai untuk dijadikan raja di negeri Kepenuhan. Raja Tambusai menyerahkan adik perempuannya yang bernama To’ Permaisuri untuk menjadi raja di negeri Kepenuhan. Kemudian itu Yang Dipertuan Tua Pinang Awan meminang adik Raja Aru. Kemudian Yang Dipertuan Tua kahwin dengan adik Raja Aru itu yang bernama Baruni Tarligan. Tidak lama kemudian Raja Aru nikah pula dengan To’ Permaisuri.

Bila raja Aru itu, ia meninggalkan putera yang bergelar Datuk Negeri Tinggal. Kemudian mangkat Datuk Negeri Tinggal digantikan oleh anaknya Sultan Sulaiman. Mangkat Sultan Sulaiman di gantikan oleh puteranya Tuk Maruhum Kaya, kemudian diganti pula oleh anaknya Tuk Muruhum Sutan Makula, kemudian diganti oleh Tuk Muruhum Sutan Sulaiman.

Maruhum Akhir Zaman menjadi Raja di Tambusai isteri pertamanya adik Sutan Abdullah tidak beranak. Isteri keduanya mendapat dua orang anak Tengku Mansur dan Siti Jadah. Siti Jadah ibu kepada Tengku Muda yang menggantikan Maruhum Akhir Zaman.

*****

5. Silsilah Raja Kuanta

Fasal yang keempat tentang keturunan Raja Kuanta. Setelah negeri Johor pecah salah seorang kerabat raja negeri Johor lari ke Rokan dan mengadap raja Tambusai yang pada masa itu bernama Syaifuddinlah yang memerintah Luwa’ sungai Rokan. Ia diberi kebenaran untuk membuka tanah sekadar tempat kediaman. Maka Raja Johor itu membuka negeri dan di namakan Si-Barang-barang. Kemudian negeri tersebut diserang oleh Aceh. Pada masa itu negeri tersebut diperintah oleh raja dua bersaudara iaitu Sultan Ganjut dan Sultan Harimau. Akibat serangan Aceh itu, rakyat melarikan diri ke hutan dan negeri itu sendiri jatuh ke tangan Aceh.

Ketika melarikan diri keduanya berselisih pendapat. Sutan Ganjut hendak mudik ke Rokan Kanan dan Sutan Rimau hendak mudik Rokan Kiri. Akhirnya mereka berpecah, harta pusaka dibahagi dua. Selanjutnya Sultan Ganjut mudik ke hulu Rokan Kanan dan masuk ke negeri Tambusai. Ia dijadikan Pembesar Tambusai. Sutan Harimau terus mudik ke hulu hingga sampai ke Kuanta. Ia kemudian mengumpulkan semua rakyat yang lari ke dalam hutan dan membuka negeri di situ. Negeri tersebut diberi nama berdasarkan nama sungai tersebut (Kuanta). Hanya enam puak yang mahu menetap di situ, sebahagian lagi kembali ke negeri asal mereka. Itulah disebut Kampung Enam, iaitu Kampung Solokan, Santang, Lubuk Batu, Batang Lubuk, Titi Gading, dan Bonai. Yang delapan itulah bernama Batalian Lapan, yang tiga itu menjadi Talang Liar menjadi orang asli.

“Yang Delapan pihak itulah bernama Batalian Delapan yang tiga itulah yang menjadi Talang Liar, tiada lagi pernah bertemu dengan orang. Kata cerita orang, pulau Pangka tempatnya, tetapi ia tiada bertemu lagi dengan orang selama-lamanya”.

Negeri tersebut tetap di bawah naungan Tambusai. Segala keputusan tentang pemilihan Raja, pembesar atau memutuskan sesuatu masalah yang besar harus dengan pengetahuan Raja Tambusai.

*****

6. Bahasa
Naskah ini menggunakan bahasa Melayu Johor-Riau yang menjadi bahasa Melayu standart pada masa itu. Hanya ada dua perkataan bahasa Melayu dialek Minangkabau:
sinan = sana
“Jikalau ada orang berladang-ladang atau berkebun-kebun di hiilir sinan”
Luwak = kawasan
“Syaifuddinlah yang memerintah luwak sungai rokan ini”.

Bahasa manuskrip ini baik, menunjukkan pengarangnya seorang penulis yang biasa dengan kerja mengarang. Tulisan pada manuskrip juga agak baik.

7. Sebagai Sebuah Teks sejarah
Pada teks ini tidak terdapat unsur-unsur mitos dan legenda seperti kebanyakan teks sastera sejarah. Setiap peristiwa yang diceritakan rasional dan wajar. Asal usul raja juga diceritakan secara rasional dan wajar. Tidak terdapat bahagian yang menceritakan asal usul raja yang dihubungkan dengan tokoh-tokoh atau tempat legenda. Cara peristiwa terjadi juga masih rasional. Misalnya tentang asal usul raja Rambah diceritakan berasal dari anak raja Tambusai yang berselisih faham dengan abangnya, kemudian dengan izin dari ayahnya ia membuka negeri sendiri. Kerana mereka merambah hutan, negeri tersebut di namakan Rambah.

Kisah negeri Kepenuhan dikatakan bermula dengan kedatangan Raja Johor yang lari setelah negerinya dikalahkan musuh. Kemudian ia membuka negeri di kuala Sungai Rokan. Kerana kezalimannya, akhirnya ia dibunuh oleh pembesarnya sendiri. Kemudian pembesar Raja Johor tersebut meminta raja kepada Raja Tambusai. Raja Tambusai mengirim adik perempuannya yang bernama Tuk Permaisuri sebagai raja. Tuk Permaisuri kemudian berkahwin dengan Raja Aru. Dari keturunan merekalah kemudian menjadi raja di kerajaan Kepenuhan.

Peristiwa yang diceritakan juga tidak banyak. Hanya peristiwa yang berhubungan langsung dengan perubahan-perubahan politik negara yang diceritakan. Itu pun tidak diceritakan dengan mendalam, kadang-kadang hanya sekadar disebutkan peristiwa tersebut.

Ini amat berbeza dengan teks sastera sejarah lainnya seperti Sejarah Melayu, Hikayat Pahang, Hikayat Patani dll, yang menyelitkan banyak peristiwa yang tidak mempunyai hubungan secara langsung dengan politik. Misalnya Sejarah Melayu juga turut menceritakan peristiwa Badang menjadi kuat setelah memakan muntah hantu dll. Jadi pengarang tidak hanya ingin menceritakan peristiwa politik, tetapi juga ingin menceritakan watak manusia di sekitarnya, peristiwa-peristiwa sosial, peristiwa lucu, menarik dll. Oleh yang demikian penulis teks ini tidak mempunyai tujuan untuk memberi hiburan kepada pembaca, memitoskan raja, menceritakan peristiwa sosial dll. Pengarang hanya ingin menulis sebuah buku sejarah raja Tambusai secara tepat. Oleh yang demikian yang lebih diutamakan dalam cerita ini adalah deretan nama raja-raja yang memerintah di setiap negeri yang disebutkan.

Teks ini tidak berfokus pada seorang tokoh, bahkan tidak ada tokoh utamanya. Setiap peristiwa yang diceritakan melibatkan tokoh yang berlainan sesuai dengan masa dan tempatnya.

Peristiwa-peristiwa juga diceritakan dengan ringkas. Pengarang hanya menyajikan plot-plot kronologi secara sederhana, sehingga kita seolah-olah membaca sebuah sinopsis sastera sejarah. Tidak ada jalinan-jalinan peristiwa yang rumit yang dapat memberikan daya tarik kepada plot cerita ini..

Watak-watak dalam semua teks ini ialah keluarga raja dan para pembesar-pembesar. Tetapi teks ini bukanlah sebuah teks sastera fiktif seperti teks hikayat atau cerita penglipurlara yang sangat mementingkan perwatakan. Teks ini lebih menekankan unsur sejarah. Oleh yang demikian tidak terdapat gambaran-gambaran watak-watak yang terperinci. Tetapi melalui beberapa peristiwa yang diceritakan oleh pengarang dapat dilihat watak beberapa orang tokoh dalam teks ini. Misalnya watak raja Purba yang suka berfoya-foya dan kejam. Ia sanggup bersikap kejam.

Pada teks ini juga terdapat peristiwa yang disebutkan tahun kejadiannya. Misalnya tahun tahun Perjanjian antara Raja Johor dengan Raja Tambusai dikatakan terjadi 2 rabiulawal tahun 2745 tahun zai. Penyebutan tahun peristiwa seperti ini jarang di temui pada teks-teks sastera sejarah lainnya.

8. Konsep Negeri
Pembukaan negeri
Konsep negeri adalah raja, apabila ada raja, maka adalah negeri. Besar kecilnya suatu tempat tidak menjadi ukuran sama ada suatu tempat itu disebut negeri atau tidak. Misalnya negeri Rambah, hanya sekitar hilir sungai Rokan, tetapi kerana di situ ada seorang raja yang maka ia disebut sebagai negeri. Negeri juga dapat berpindah-pindah jika rajanya berpindah. Misalnya negeri Johor yang disebutkan dalam manuskrip ini, walaupuin sudah dimusnahkan musuh, tetapi ia tetap ujud mengikut kemana rajanya pergi. Oleh yang demikian bagi orang Melayu raja lebih penting daripada negeri. Walaupun sebuah negeri sudah musnah tetapi jika rajanya masih ujud, ia tetap dianggap ujud.
Ada beberapa cara pembukaan sebuah negeri yang dapat dilihat dalam manuskrip ini.

a. Oleh Raja yang Lari Setelah negeri Di Tawan Musuh
Apabila sebuah negeri ditawan musuh Rajanya akan melarikan diri dengan membawa bersama para pembesar, panglima dan rakyatnya. Bila menjumpai suatu tempat yang baik biasanya mereka akan membuka kawasan tersebut dan menjadikannya tempat tinggal, maka ujudlah negeri. Hal ini terjadi kepada Raja Purba dari Johor. Setelah negerinya dikalahkan musuh, ia melarikan diri ke Sumatera sehingga ke sungai Rokon. Sampai disuatu tempat di hulu sungai Rokan ia telah tertarik dengan tempat tersebut. Iapun membuka negeri yang diberi nama Kepenuhan.

b. Putera Raja yang ingin Memiliki Negeri Sendiri.
Negeri boleh juga dibuka oleh seorang putera raja kerana ia ingin memerintah negeri sendiri. Ia ingin negeri sendiri mungkin kerana ada masalah dengan saudara atau keluarga yang lain. Ini dapat dilihat dalam kes pembukaan negeri Rambah. Anak Raja Tambusai berselisih faham dengan abangnya yang sulung. Ia pun mengambil keputusan untuk membuka sebuah negeri yang lain. Akhirnya dengan kebenaran ayahnya ia telah membuka sebuah negeri yang lain yang diberi nama negeri Rambah.

2. Syarat-syarat Kewujudan Sebuah Negeri
Ada beberapa syarat untuk membuka sebuah negeri baru. Pertama adanya raja. Seorang yang berhak menjadi raja pula pertama harus mempunyai darah raja. Oleh yang demikian rakyat biasa walaupun mempunyai harta, ia tidak berhak menjadi raja. Sebab itu jika ada sekumpulan rakyat yang ramai dan membuka sebuah kawasan, mereka akan mencari seorang putera raja dari negeri lain untuk dijadikan raja di negeri mereka. Atau jika raja sebuah negeri meninggal tanpa waris maka rakyat akan mencari seorang putera raja dari negeri lain untuk dijadikan raja. Ini terjadi kepada negeri Kepenuhan. Setelah Raja Purba meninggal, tidak ada seorang pun anaknya yang boleh dijadikan waris untuk memerintah. Akhirnya para pembesar di negeri Kepenuhan meminta salah seorang dari kerabat Raja Tambusai untuk dijadikan raja di negeri Kepenuhan.

Kedua adanya pembesar. Pembesar adalah orang yang bertanggungjawab membantu raja dalam urusan pentadbiran. Pembesar tidak mutlak dari keturunan, tetapi boleh saja rakyat biasa yang dipilih oleh raja untuk menjadi pembesar. Rakyat akan mengadukan segala permasalahan mereka kepada Raja melalui pembesar. Pembesar yang baik sentiasa taat kepada perintah raja, tetapi bila raja sudah melakukan kezaliman, pembesar akan memberi nasihat kepada raja. Jika raja tetap juga zalim setelah diberi nasihat, suatu tindakan akan diambil, termasuk merancang pembunuhan terhadap raja tersebut. Misalnya pembesar di Kepenuhan telah merancang membunuh Raja Purba kerana raja tersebut bersikap zalim terhadap rakyat, walaupun sudah dinasihatkan beberapa kali oleh para pembesar.

Ketiga adanya rakyat. Sebuah negeri harus ada rakyat. Mereka adalah golongan paling ramai dan merupakan golongan yang diperintah. Dalam manuskrip sejarah Tambusai memang tidak banyak disebutkan tentang rakyat, tetapi dari sedikit gambaran yang diceritakan dalam Sejarah Tambusai nampaknya mereka golongan paling bawah setelah pembesar. Setiap masaalah mereka tidak diadukan langsung kepada raja, tetapi melalui pembesar sebagai orang tengah untuk diadukan kepada raja. Tetapi jika pembesar boleh menyelesaikan sendiri masalah rakyat biasanya tidak akan diadukan kepada raja. Hanya peristiwa-peristiwa yang besar sahaja yang diadukan kepada raja. Dalam hal ini, pembesar menjadi orang tengah antara rakyat dengan raja.

Bagi seorang raja harus menjaga kebajikan rakyat sekiranya kebajikan rakyat, kerana tujuan kerajaan sebenarnya ialah memberi kebajikan kepada rakyat. Raja yang tidak menjaga kebajikan rakyat atau zalim terhadap mereka tidak akan mendapat sokongan rakyat. Raja yang tidak mendapat sokongan rakyat tidak akan dapat menjalankan pemerintahan dengan berkesan, bahkan mungkin akan digulingkan oleh rakyat. Dalam manuskrip sejarah Tambusai, peristiwa yang paling tragis telah terjadi kepada Raja Purba yang zalim terhadap rakyatnya. Ia tidak memperdulikan kebajikan rakyat, mengambil gadis-gadis yang cantik dari kalangan rakyat dan sebagainya. Rakyat menjadi resah dan benci pada raja. Akhirnya mereka membuat pakatan dengan pembesar untuk membunuh raja. Raja Purba dibunuh melalui pakatan rakyat.

Keempat harus ada tanah untuk dibuat negeri. Seorang raja akan mencari kawasan yang baik untuk dibuat negeri. Setelah mendapat kawasan yang baik untuk di buat negeri maka segala urusan yang berhubungan dengan tanah tersebut di uruskan. Ini sangat penting terutama jika tanah tersebut berada di bawah kekuasaan raja lain, kerana jika dibuka tanpa memberitahu raja yang mungkin menguasai kawasan tersebut, raja tersebut akan marah dan menimbulkan peperangan. Raja Purba ketika membuka negeri di Kuala Sungai Rokan terlebih dahulu memaklumkan maksudnya untuk membuka negeri di situ. Setelah mendapat kebenaran dari Raja Tambusai barulah Raja Purba membuka kawasan tersebut. Anak Yang Dipertuan Tua minta kebenaran terlebih dahulu daripada ayahnya sebelum membuka tanah Rambah sebagai negeri.

Kelima Alat Kebesaran. Alat kebesaran juga merupakan syarat penting untuk membuka negeri. Seorang raja tidak akan dapat di tabal tanpa alat kebesaran. Alat kebesaran merupakan simbol kepada kedaulatan dan legitimasi. Antara alat kebesaran termasuk alat muzik. Sebab itu ketika Yang Dipertuan Muda mahu membuka negeri Rambah, selain daripada pembesar dan rakyat, ia juga dibekalkan dengan alat kebesaran. Pertabalan seorang raja tidak akan sah jika tidak diikuti dengan alat kebesaran.

1 ulasan:

  1. Assalamualaikum, maaf pak sebelumnya, pada pasal pertama Yang Dipertuan Tua memiliki saudari bergelar to' permaisuri, sedangkan Siti Dualam, Tengku Raja Muda dan Yang Dipertuan Akhir itu adalah anaknya, bukan adiknya pak, maaf sebelumnya pak

    BalasPadam