Rabu, 21 Oktober 2009

MEDIA DAN PERJALAN BUDAYA NUSANTARA: PERLU SEBUAH BADAN KERJASAMA BUDAYA INDONESIA-MALAYSIA.

OLEH
DR. BAZRUL BAHAMAN
INSTITUT KAJIAN MALAYSIA-INDONESIA (IKMI)


PENGENALAN

Negeri-negeri Nusantara adalah kawasan fasifik yang mempunyai banyak kelebihan dari segi ekonomi, gografi dan strategik. Kelebihan ini telah lama menarik perhatian dunia sejak zaman berzaman.

Zaman kerajaan Melayu tua kawasan ini menjadi laluan utama timur dan barat. Para pedagang dari pelbagai penjuru menjadikan negeri-negeri Nusantara sebagai pusat persinggahan sebelum melanjutkan perjalanan mereka ke pelbagai penjuru dunia.

Kawasan ini juga merupakan pusat pengeluar pelbagai komoditi utama dunia sepanjang zaman. Di zaman kesultanan Melaka kawasan ini merupakan pengeluar pelbagai jenis rempah yang mendapat permintaan tinggi di dunia. Kemudian apabila berlaku revolusi industri di Barat, kawasan ini menjadi pengeluar utama bijih timah yang sangat diperlukan oleh dunia industri ketika itu.

Kawasan ini juga menjadi tumpuan pelbagai kebudayaan dunia seperti Islam, Hindu dan Budha. Apabila Islam masuk ke Nusantara akhirnya ia seperti sebuah noktah yang membentuk dan menyempurnakan jatidirinya sebagai wilayah Melayu-Islam.

Institusi Sosial Sebagai Media Penyebaran Budaya
Sejak sebelum zaman penjajahan lagi institusi sosial yang terdiri daripada mesjid, madrasah, rumah-rumah guru al quran, panggung wayang kulit, majelis perkahwinan, gelanggang-gelanggang silat dan sebagainya merupakan media yang bertanggungjawab membentuk dan mengembangkan kebudayaan.

Mesjid, Maderah, Surau dan Rumah Guru Agama Sebagai Media Pembentukan Budaya Malaysia-Indonesia.

Seperti yang telah disentuh di atas, sejak kedatangan Islam, ia telah menjadi teras utama kebudayaan bangsa Nusantara. Hampir 90% penduduk Nusantara menganut agama Islam. Islam bukan sekadar membentuk kepercayaan masyarakat Nusantara, tetapi juga membentuk kebudayaan yang luas.

Ketika itu, mesjid, madrasah dan surau memainkan peranan penting sebagai media pembentukan budaya di Nusantara. Ia tempat berkumpul, tempat belajar, dan tempat perkembangan budaya. Pelbagai upacara keagamaa seperti Hari Raya, Maulud nabi Muhamad, Israk Mikraj menjadi tempat pertunjukan pelbagai kebudayaan Islam sama ada yang berbentuk sastera dan muzik.

Kajian penulis terhadap mesjid, surau dan madrasah di Hulu Tembeling Pahang, Sumatra Barat dan Kabupaten Kampar, Riau Indonesia mendapati mesjid, madrasah, dan surau tempat tumbuhnya pelbagai kebudayaan. Di sini bentuk-bentuk sastera seperti syair, nazam, dan pantun di bacakan dengan menggunakan irama tertentu sehingga beberapa malam. Misalnya ketika maulud nabi, mereka membaca syair Israk Mikraj untuk beberapa malam bermula selepas isyak sehingga hampir subuh.

Rumah-rumah guru-guru mengaji Al Quran sering menjadi tumpuan bagi kanak-kanak dan golopngan remaja untuk mempelajari pelbagai bentuk sastera seperti syair, pantun, marhaban, nazam dan sebagainya. Bahkan rumah rumah guru mengaji al quran menjadi tempat mereka mulai menganali huruf.


KEKUATAN INSTITYUSI SOSIAL SEBAGAI MEDIA DALAM MASYARAKAT TRADISONAL

Indonesia-Malaysia telah dijajah oleh kuasa barat hampir 500 tahun. Selama penjajahan tersebut media-media tradisional yang teridiri daripada mesjid, madrasah, surau, gelanggang silat, majlis kenduri kahwin dan sebagainya telah membentuk budaya masyarakat Nusantara. Penjajah hampir tidak dapat memasuki media ini. Ini lah juga yang menyebabkan budaya penjajah (budaya barat) tidak dapat memasuki budaya masyarakat Nusanatara. Agama, ideologi, pemikiran, kesenian, kesusasteraan, fesyen pakaian, hiburan dari penjajah hampir tidak dapat menerobosi kebudayaan masyarakat Nusantara.

Walaupun dijajah lebih empat ratus tahun masyarakat Nusantara tetap beragama Islam. Hanya beberapa kawasan pedalaman Nusantara yang mungkin tidak sampai 5% berjaya di kristenkan oleh penyabar agama penjajah. 95% lagi masih tetap menganut Islam atau kepercayaan setempat.

Bahasa juga tidak tergugat, walaupun Nusantara dijajah secara berganti-ganti oleh Protugis, Belanda dan Inggeris, tetapi bahasa penjajah hampir tidak tersebar dalam masyarakat Nusanatara. Bahkan urusan-urusan resmi tetap menggunakan bahasa Melayu atau bahasa-bahasa etnik lain di Nusanatara. Sampai merdekapun masyarakat Indonesia- Malaysia tetap mampu memilih salah satu bahasa Masyarakat Nusantara sebagai bahasa resmi mereka.

Begitu juga dengan muzik, fesyen pakaian, kesusasteraan dan sebagainya hampir tidak dapat disentuh oleh penjajah. Sampai di awal kemerdekaan sekitar tahun 1950an masyarakat Nusantara masih kekal kebudayaan tradisional masing-masing seperti batik, baju kurung, mantera, syair, caklempong,dan sebagainya.

Konflik perebutan budaya juga tidak pernah terjadi. Setiap orang merasakan mana-mana budaya Nusantara sebagai milik bersama. Orang Jawa di Jawa menggunakan pantun dalam pelbagai bentuk kesenian mereka, orang Melayu juga mengembangkan cerita-cerita panji dalam berbagai karya tulis mereka. Di sarau-surau, madrasah-maderasah dan rumah-rumah guru agama di Minangkabau, di Kampar masyarakat membacakan syair-syair Israk mikraj, syair Nabi Maulud dan sebagainya, seperti juga di Hulu Tembeling, Pahang. Tidak pernah ada konflik budaya dalam masyarakat Nusantara.

Sehingga merdeka budaya masyarakat Nusantara masih tetap kukuh berdiri. Nilai-nilai masyarakat juga tidak berubah. Islam, semangat kebersamaan, musyuarat muafakat, budi bahasa, merupakan nilai-nilai yang kukuh menjadi teras setiap kebudayaan yang hidup di Nusantara.

Konflik budaya hanya akan terjadi bila ada budaya asing yang bertentangan dengan nilai-nilai agama dan moral yang mereka anggap merosak budaya yang sedia ada. Dan tidak ada konflik antara masyarakat di Nusantara tentang membuat penilaian dan menentukan sikap tersebut.

Mungkin konflik budaya yang dianggap agak ketara berlaku di Nusantara apabila muncul faham kaum muda yang di menolak semua bentuk amalan-amalan budaya tradisional masyarakat setempat. Tetapi ini tidak melibatkan perubahan nilai. Ia lebih kepada penilaian oleh kaum muda yang mengganggap semua amalan yang berteraskan adat sebagai bertentangan dengan amalan Islam yang murni. Kemudian ini dapat diselesaikan melalui suatu rumusan budaya ”Adat bersendi syarak, syarak bersendi kitabullah”.

Pada ketika itu institusi agama dan institusi budaya antara kedua negara sama sekali tidak ada sempadan. Misalnya di Riau ramai guru-guru agama yang belajar dipondok-pondok di Kelantan, Kedah dan Pahang. Ulama-ulama Malaysia juga ramai yang memiliki dan menjadi guru madrasah di pelbagai wilayah di Indonesi, seperti Haji Ismail bin Haji Abdul Majid bin Haji Abdul Qadir Al-Kelantani.

AWAL MERDEKA

Apabila negara Nusantara ini merdeka menjadi Indonesia dan Malaysia kedua-duanya semakin memperlihat kesatuannya dalam budaya. Indonesia dan Malaysia sama-sama memilih bahasa Melayu sebagai bahasa resmi. Indonesia menyatakanya lebih awal dan sumpah Pemuda yang kemudian diperjelaskan lagi dalam proklamasi kemerdekaan. Di Malaysia kedudukan bahasa Melayu dikukuhkan dalam perkara 153 perlembagaan negara dengan penyataan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Demikian juga dengan kedudukan agama Islam. Di Indonesia walaupun pernyataan ”Mengamalkan Agama Islam bagi penduduk beragama Islam tidak berhasil dimaukkan dalam undang-undang dasar 45, tetapi perkara satu dalam pancasila ”Ketuhanan Yang Maha Esa” sebenarnya menjadi teras yang kuat bagi menjamin Islam sebagai teras dalam pembentukan budaya Indonesia. Di Malaysia kedudukan agama Islam juga ditegaskan dalam perkara 153 perlembagaan negara yang menyebutkan agama islam sebagai agama resmi negara.

Seterusnya perjalanan budaya Indonesia dan Malaysia berjalan seiring tanpa sebarang masalah. Isi mengisi dan bantu membantu terus terjadi. Teks-teks sastera yang dihasilkan oleh sasterawan-sasterawan Indonesia seperti Cahiril Anwar, Pramudya Anantatoer, Hamka, Sutan Takdir Alishabana dan sebagainya dibaca dan dijadikan bacaan wajib disekolah-sekolah dan universiti di Malaysia. Bahkan Sutan Takdir Alishabana pernah menjadi ketua jabatan bahasa dan kesusastraan Melayu di Universiti Malaya yang pada ketika itu merupakan badan yang bertangguingjawab penuh membina bahasa dan kebudayaan Melayu di Malaysia.


Di awal kemerdekaan walaupun muncul media-media eletronik namun perjalanan budaya Nusantara masih tetap terkawal. Nilai-nilai yang menjadi asas pembentukan budaya masyarakat Nusantara masih tetap menjadi tapisan yang kuat kepada setiap kebudayaan yang masuk. Islam, budi bahasa, musyawarat mufakat tetap menjadi teras dalam mengukur setiap sendi kehidupan.

Media dan Kebudayaan Hari Ini

Kini zaman kekuasaan moden yang sangat kuat dan diluar kawalan masyarakat. Bahkan terlihat media lebih kuat daripada masyarakat. Masyarakat tidak lagi mengawal media, bahkan media yang menguasai masyarakat. Segala-galanya di tentukan oleh media sehingga nilai masyarakatpun banyak dibentuk oleh media.

Media pula tidak terlepas dari kepentingan ekonomi dan perniagaan. Kepentingan ekonomi biasanya berkait rapat dengan jumlah penjualan, iklan dan sponsor. Ini menyebabkan media didominasi oleh hiburan yang sifat popular dan tidak mendidik. Akhirnya akan melahirkan masyarakat berhibur dan budaya pop menguasai budaya masyarakat Indonesia-Malaysia. Lebih jauh lagi hiburan ini yang cendrung kepada budaya-budaya negetif seperti sex, budaya ganas, dan sebagainya. Masyarakat juga semakin jauh dengan nilai-nilai kasih sayang, keagamaan, budi bahasa dan sebagainya.

Media yang seperti ini juga cendrung kepada isu-isu kontroversi yang seronok untuk diikuti. Hal-hal kontroversi ini biasanya makin menyeronokkan bila dapat menimbulkan konflik. Ini akan membuang budaya merendah diri, mesyuarat mufakat, gotong royong dan sebagainya. Wacana-wacana ilmu lebih didominasi oleh debat yang akhirnya juga akan menciptakan konflik dalam masyarakat.


BEBERAPA CADANGAN

1. Memperkuat Peranan Mesjid, Madrasah, Surau dan institusi Budaya Sebagai Media Tardisional.

Seperti yang sudah disentuh di atas, institusi mesjid, surau, madrasah dan sebagainya sudah lama memainkan peranan sebagai media untuk menyebar dan membentuk budaya masyarakat Nusantara. Kekuatan institusi ini sebagai media tidak mampu diterobosi oleh budaya penjajah sehingga hampir 500 tahun lamanya. Institusi tersebut sampai hari ini sebenarnya masih mampu untuk menajadi benteng pertahanan budaya Nusantara. Ia tetap akan sulit untuk ditembus oleh budaya luar yang merosak iman, moral dan budaya masyarakat Indonesia-Malaysia. Sekiranya institusi ini dapat diperkuat, ia akan dapat menumbuhakan budaya yang positif untuk melawan budaya negetif yang dibawa oleh media eletronik dan IT.


2. Pembantukan Badan Kerjasama Budaya Indonesia-Malaysia

Berdasarkan sejarah, perkembangan media, perubahan, fenomena budaya dan masalah-masalah semasa maka sangat diperlukan suatu badan kerjasama kebudayaa Malaysia-Indonesia.

Badan kerjasama ini dianggotai oleh pertubuhan-pertubuhan kebudayaan, media pengusaha filem, para seniman, budayawan, dan individu yang yang terlibat dengan kebudayaan. Pertubuhan ini juga harus melibatkan pemimpin tertinggi negara dan kementerian-kementerian yang berkaitan dengan kebudayaan.

Badan nantinya akan bertanggungjawab mengadakan dialog, seminar, forum komunikasi dan pelbagai kerjasama budaya Indonesia-Malaysia. Selain itu, badan ini juga akan bertangungjawab memberi kefahaman kepada masyarakat tentang budaya dan masalah-masalah yang berhubungan dengan kebudayaan. Selain itu, badan ini juga akan berfungsi sebagai penasihat kepada pihak pemerintah, badan-badan kebudayaan yang ada di Indonesia-Malaysia.


Dalam hal ini mungkin kita dapat merujuk MBIM yang telah berjaya mewujudkan kerjasama bahasa Malaysia, Brunei dan Indonesia. Kerjasama yang hari ini masih terbatas antara badan-badan tertentu yang tidak dapat menjangkau keseluruhan badan dan individu yang terlibat dengan kebudayaa. Badan-badan tersebut juga tidak mempunyai kekuatan yang dapat diterima oleh seluruh masyarakat di kedua-dua buah negara, seperti mana MBIM yang yang mempunyai kekuatan dalam menentukan perkembangan bahasa di Malaysia, Indonesia dan Brunei.

Akhir sekali badan ini juga harus mampu sebagai pelindung dan penasihat kepada badan-badan dan pengamal budaya di Indonesia-Malaysia.

Model Kerjasama IKMI

Institut Kajian Malaysia-Indonesia adalah sebuah badan di bawah UNISEL yang ditubuhkan 2008. Badan ini menumpukan perhatian di bidang pendidikan dan penyelidikan. Kerjasama tersebut meliputi pertukaran pelajar, pertukaran mahasiswa, perpindahan kredit, penyelidikan dan sebagainya. Setakat ini IKMI sudah menandatangi MoU dengan lebih 150 IPT di Indonesia. Kerjasama ini juga sudah melibatkan lebih 500 orang pelajar dan 50 orang staf akdemi dan bukan akademi.

Yang menarik ialah, badan ini mempunyai garis panduan yang jelas dalam melakukan MoU dengan pelbagai universiti di Indonesia. Garis panduan itu pula diketahui oleh Dirjen Perguruan Tinggi Indonesia. Setiap pelajar dan staf yang terlibat dengan program-program tersebut terus menjelin kerjasama dalam berbagai bidang walaupun program mereka sudah tamat. Oleh yang demikian program yang awalnya dirancang untuk instusi kemudian berkembang menjadi kerjasama antara individu yang terlibat.

Ini juga suatu bentuk kerjasama yang dapat dijadikan rujukan oleh bdan kerjasama Kebudayaan Indonesia Malaysia.


KESIMPULAN

Indonesia dan Malaysia mempunyai sejarah budaya yang sama dan juga digerakkan bentuk media yang sama. Mereka juga mempunyai nilai kehidupan yang sama. Pemisahan kebudayaan antara kedua negara ini tidak mungkin dapat dilakukan. Kekeliruan sering terjadi apabila politik dan budaya sering dicampur adukkan. Batas politik dimasukkan ke dalam batas budaya, sehingga menyebabkan timbul pelbagai masalah yang akan merugikan kebudayaan Indonesia dan Malaysia.

Dalam era globalisasi yang yang semakin kuat ini, hari ini kedua negara sebenarnya menghadapi masalah dan cara budaya membimbangkan. Nilai-nilai yang merupakan teras kepada pengembangan dan pembentukan budaya Indonesia dan Malaysia sudah mula bergeser kearah negetif. Media massa menggerakan budaya terlalu cepat dan tak mampu di kawal. Oleh yang demikian diperlukan suatu yang kuat antara badan dan mereka yang terlibat dengan kebudayaa. Ini bertujuan untuk membolehkan pemantauan dan perbincangan dijalankan dengan lebih baik dan terarah.

1 ulasan:

  1. Assalamualaikum Dr. Saya sedang mengusahakan sebuah karya novel yang berasaskan Nusantara. Saya ingin membuat rujukan kepada Dr. untk mendapat idea tentang karya saya ini. Harap Dr. boleh hubungi saya pada andangserindit@gmail.com. sekian terima kasih.

    Halil Ali

    FB/Halil Ali

    BalasPadam